suria

Kes lemas: Tidak perlu kait unsur mistik

SHAH ALAM: Tragedi lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong kelmarin tidak perlu dikaitkan dengan unsur mistik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perkara itu tidak konkrit untuk diberikan satu pandangan muktamad.

Katanya, Islam mengajar umatnya supaya percaya bahawa sesuatu itu ada sebab yang semula jadi.

"Biasanya kalau kita tak boleh menemui atau merungkaikan sebab yang semula jadi, kita berlindung kepada mistik, sedangkan perkara-perkara mistik ini tak boleh dibuktikan sama ada betul atau tidak.

"Walaupun kita tak nafikan ada makhluk ALLAH yang lain seperti jin, malaikat dan sebagainya, tetapi kita tak boleh nak pastikan adakah ia disebabkan oleh makhluk itu atau sebab-sebab yang semula jadi," katanya.

Pada Rabu, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika mencari remaja yang dilaporkan terjatuh dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Anggota terbabit, Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 dan Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, manakala dua lagi, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dari BBP Shah Alam.

Wan Salim berkata, kebiasaannya, perkara sebegini akan dirujuk kepada faktor-faktor tabii seperti tarikan arus air yang deras.

"Tak semestinya awal-awal lagi kita dah mengatakan ini adalah disebabkan oleh jin dan sebagainya.

"Kita bimbang kepercayaan sebegini akan menjejaskan keimanan kita kepada ketentuan qada dan daqar ALLAH," katanya.

Menurutnya, Islam juga mengajar umatnya untuk menerima dan reda dengan apa yang berlaku pada diri sendiri.

"Kalau benda yang berlaku itu baik, maka kita diajar supaya bersyukur, tetapi kalau satu kemalangan yang menyebabkan kita sedih dan dukacita, kita sabar dan terima itu sebagai ketentuan daripada ALLAH SWT," katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ajal terletak di tangan ALLAH SWT.

"Jadi kalau jin dan sebagainya membunuh, nanti akan dihukum dan dimasukkan ke dalam neraka kalau betul ada jin yang bunuh.

"Namun yang kita tahu anggota bomba tersebut maut kerana kes tenggelam dalam air, maka mereka mati syahid dan perkara itu jelas dinyatakan dalam hadis. Mereka juga dapat pahala syahid kerana menyelamatkan orang, sebelum tiba-tiba tenggelam dan mati syahid," katanya.- Sinar Harian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain