suria

Edar dadah lebih satu tan, pemandu lori didakwa

Seorang pemandu Ooi Beng Leng, 47, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat 1,065,575 gram di alamat No 51, Jalan Perusahaan Jelutong, di sini pada pukul 4.40 petang, 31 Ogos lepas.

GEORGETOWN: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat lebih satu tan di Jelutong, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Ooi Beng Leng, 47, di hadapan Majistret L. Umma Devi.

Dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,065,575 gram di alamat No 51, Jalan Perusahaan Jelutong, di sini pada pukul 4.40 petang, 31 Ogos lepas.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Michael KL Chee didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh tidak diikat jamin dan menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi semakan laporan kimia.-- Bernama

Artikel Lain