suria

Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah empat tuduhan

KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima wang daripada aktiviti haram.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, membabitkan wang berjumlah RM4.2 juta dan RM5.2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhammad Shafee juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

Terdahulu, beliau yang berpakaian sut dan tali leher polka dot tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 11.15 pagi.

Bekas hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Muhammad Shafee mengetuai pasukan peguam bela yang mewakili bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Pada 6 September lalu, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan afidavit yang mendakwa Muhammad Shafee menerima bayaran berjumlah RM9.5 juta daripada Najib sekitar 2013 dan 2014.

Malah, beliau didakwa menerima bayaran tersebut untuk mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan kes liwat di Mahkamah Persekutuan.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Katanya, wang tersebut merupakan bayaran untuk khidmat guaman yang dilakukannya untuk Umno dan Barisan Nasional.

Muhammad Shafee Abdullah

Artikel Lain