Hadi Awang minta kaji sebatan syariah, sivil - Semasa | mStar

Hadi Awang minta kaji sebatan syariah, sivil

Gambar fail Abdul Hadi Awang.

SHAH ALAM: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat pihak yang terlibat dalam isu sebat baru-baru ini perlu membuat perbandingan terlebih dahulu antara sebatan syariah dan sebatan sivil.

Beliau berkata, kebanyakan keputusan yang dibuat pada hari ini diperoleh secara spontan.

"Sepatutnya mereka perlu kaji dahulu perbezaan sebatan syariah dan sivil. Saya yakin sekiranya perbandingan dibuat secara adil, orang bukan Islam juga akan pilih sebatan syariah yang tujuannya mendidik dan tidak menyeksa pesalah. Saya percaya ini akan berlaku," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas isu tersebut menerusi video pendek berdurasi seminit yang dimuat naik di laman Twitter rasmi beliau.

Rata-rata pengikut Abdul Hadi turut bersetuju dengannya dan menganggap mereka yang menentang isu berkenaan sebenarnya adalah golongan tegar politik tanpa mengira agama yang takut terhadap penguatkuasaan serta pematuhan kepada sistem perundangan Islam.

Pada 3 september lalu, sepasang kekasih berusia 32 dan 22 tahun dihukum enam sebatan kerana cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta di Dungun, April lalu.

Hukuman dilaksanakan di hadapan 150 orang di dalam Dewan Bicara 2, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu oleh dua tukang sebat wanita dari Penjara Kajang, Selangor.

Keputusan sebat itu juga sebagai bukti ketegasan kerajaan Terengganu dalam menolak amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berlaku di negeri ini.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan hukuman buat kali pertama di Terengganu itu menunjukkan pihak berkuasa serius melaksanakan undang-undang bagi membendung amalan songsang itu. - Sinar Harian

sebat

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Mawi meninggal dunia