suria

Gara-gara puisi, pegawai kanan syarikat rugi RM240,005

KUANTAN: Hanya bermodalkan sebuah puisi, seorang lelaki yang kononnya bergelar 'datuk' berjaya memperdaya seorang pegawai kanan wanita sebuah syarikat swasta sehingga mangsa kerugian RM240,005.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa, 49, sebelum itu berkenalan dengan suspek pada akhir November lepas melalui laman Facebook Rentak Kasih selepas tertarik dengan karangan puisi dimuat naik suspek menerusi laman itu.

“Pada 7 Dis lepas, mangsa menerima panggilan daripada suspek yang menawarkan penjualan tiket loteri berharga RM2,000, yang dikatakan telah memenangi hadiah berjumlah RM1.8 juta.

"Dalam tempoh itu, suspek turut menceritakan tentang masalah dan bebanan kewangan apabila akaun banknya dibekukan sedangkan dalam masa sama terpaksa mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

Beliau berkata, simpati dengan nasib dialami 'datuk' itu, mangsa yang sudah berkahwin kemudian memasukkan wang berjumlah RM240,005 menerusi 47 transaksi ke sembilan akaun berasingan sebelum menyedari ditipu setelah keuntungan menerusi tiket loteri yang dijanjikan masih belum diperoleh setelah beberapa bulan dan suspek pula menghilangkan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Wazir menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan apa jua tawaran yang diberi menerusi media sosial. - BERNAMA

puisi, penipuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain