suria

Bekalan elektrik pulih di JB

Trafik sesak di salah satu persimpangan lampu isyarat di Jalan Tebrau selepas gangguan bekalan elektrik berlaku di Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU: Bekalan elektrik di pusat bandar Johor Bahru dan kawasan sekitarnya yang terganggu sejak tengah hari Khamis pulih sepenuhnya pada sebelah malam.

Pengurus Besar TNB Johor Datuk Baderul Sham Saad berkata gangguan akibat kerosakan Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV di Jalan Datuk Abdul Rahman Andak bermula pukul 1.04 petang itu pulih sepenuhnya pukul 7.40 malam.

"Kawasan terakhir yang menerima semula bekalan elektrik adalah sebahagian kawasan Bandar Baru Uda dan Skudai Kiri,” katanya yang dihubungi di sini malam Khamis.

Katanya kesulitan atas gangguan bekalan elektrik tersebut amat dikesali dan untuk mendapatkan maklumat lanjut, pengguna dinasihati menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine.

Terdahulu, gangguan elektrik itu sedikit sebanyak menjejaskan orang ramai dalam meneruskan aktiviti harian termasuk kesesakan teruk di lampu isyarat di Jalan Tebrau yang menghubungkan kawasan Taman Pelangi dan Taman Century dengan pusat bandar.

Gangguan ke atas kira-kira 10,000 akaun pengguna itu antaranya adalah melibatkan bangunan Komtar, Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Balai Polis Sentral, Bangunan JB Sentral, Hospital Sultanah Aminah, Taman Century dan Jalan Yahya Awal.

Bagaimanapun Hospital Sultanah Aminah, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin serta kebanyakan bangunan komersial dan yang lain terus beroperasi menggunakan janakuasa sokongan. - BERNAMA

Johor Bahru, elektrik, TNB

Artikel Berikut

Musa Aman dikejarkan ke IJN

Artikel Lain