suria

Penyamun paksa warga emas telan pil

MELAKA: Sepasang suami isteri warga emas dipaksa menelan pil sebelum pengsan dalam kejadian samun di Jalan Melaka-Muar, Kampung Pernu dekat sini, Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua mangsa berumur 67 dan 66 tahun itu diikat dengan kabel telefon sebelum dipaksa menelan tiga biji pil besar dan tiga biji pil kecil menyebabkan kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri.

Beliau berkata penyamun melarikan wang tunai RM3,000 dan dua telefon bimbit milik mangsa.

“Kedua-dua mangsa baharu  sedarkan diri tadi dan kini masih  dirawat di zon merah Hospital Melaka, namum pihak polis masih belum mengetahui jenis pil yang diberi oleh suspek kepada mangsa,”katanya ketika dihubungi pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata mangsa lelaki mengalami kesan calar pada kedua pergelangan tangan, manakala mangsa wanita mengalami bengkak pada bahagian muka dan tulang hidung berdarah.

“Mengikut saksi kejadian, beliau menyedari kejadian tersebut pada kira-kira pukul 8.20 malam apabila mangsa yang merupakan bapa saudaranya melambai ke arahnya.

Mangsa (suami)  sempat memberitahu saksi bahawa isterinya telah dirompak sebelum tidak sedarkan diri,”katanya.

Beliau berkata polis turut menemui senjata berupa pisau pemotong sayur sepanjang enam inci milik mangsa dipercayai diguna oleh suspek untuk mengugut mereka.

Afzanizar berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa suspek lebih daripada seorang.

Katanya  kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. -- Bernama  



Afzanizar, Melaka

Artikel Berikut

Artikel Lain