suria

Bapa enam anak rayu bantuan bedah pinggul

PETALING JAYA: Sudah jatuh ditimpa tangga! Itulah dugaan ditanggung bapa kepada enam anak yang kehilangan tempat berteduh akibat kebakaran dan disahkan pula menghidapi tuberculosis (tibi) beberapa bulan selepas itu.

Kata Mohd Shukri Ahmad Najri, 38, selepas insiden kebakaran yang meranapkan rumah sewanya pada September 2015, dia diuji sekali lagi sehingga terpaksa terlantar di hospital selama 32 hari pada Januari 2016.

Bertitik daripada itu, bermulalah episod duka kerani di institusi kerajaan itu apabila terpaksa bergantung ubat selama hampir dua tahun sehingga November tahun lalu bagi merawat penyakitnya.

Namun, dia kini merayu kepada orang ramai untuk memberi sumbangan kewangan bagi membolehkannya membayar alat tulang ganti pada bahagian pinggul yang dijangkiti kuman dan dianggarkan bernilai antara RM18,000 hingga RM24,000.

Menurut Mohd Shukri, jumlah itu hanya untuk membayar nilai alat tersebut memandangkan kos pembedahan akan ditanggung kerajaan kerana dia adalah penjawat awam.

Assalam dan salam sejahtera.. sy dgn ribuan maaf dan rendah hati ingin memohon sedikit ihsan dr kalian utk membantu sy...

Posted by Uzlhaa Mohd Shukri on Saturday, August 25, 2018


"Kalau boleh saya nak lakukan pembedahan itu secepat mungkin kerana sudah tidak tahan dengan rasa sakit ini.

"Tapi saya masih perlu jalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah untuk menghantar anak-anak ke sekolah, jadi saya rancang untuk melakukan pembedahan pada hujung tahun ini." katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Jelasnya, pendapatan bersih sebanyak RM800 sebulan tidak mencukupi baginya untuk mengumpul wang bagi membeli alat berkenaan.

Isterinya yang bertugas sebagai seorang guru pula perlu menyara anak-anak dan sebagai anak sulung perlu memberikan bantuan kewangan kepada keluarga.

"Saya tidak boleh nak berharap kepada isteri kerana dia anak sulung dan keluarganya pula berharap dengan dia.

"Jadi, walaupun dalam keadaan sakit begini, saya tetap ke tempat kerja dengan bertongkat dan menguruskan anak-anak ke sekolah," ujarnya.

Selepas lama memendam masalah itu sendiri, Mohd Shukri akhirnya terpaksa meminta ihsan orang awam menerusi posting di Facebook miliknya.

Setakat ini, jumlah sumbangan yang terkumpul baru mencecah RM2,800.

Orang awam yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama Mohd Shukri Ahmad Najri - 158172884084.

turberculosis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain