suria

Siling Plaza Tol Bukit Raja runtuh akibat ribut

Kredit gambar: Facebook/ CiBMALL Malaysia

KLANG: Plaza Tol Bukit Raja di Lebuhraya NKVE di sini, mengalami runtuhan siling akibat ribut kira-kira pukul 10 malam Jumaat, menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shari'at berkata kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah kira-kira satu kilometer.

"Kenderaan dari arah Shah Alam telah dilencongkan ke Plaza Tol Setia Alam dan kenderaan dari Klang dikehendaki membuat pusingan U. Laluan dari Shah Alam ke Klang telah dibuka tiga lorong di kiri sekali.

"Ketika ini kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan oleh pihak PLUS Malaysia Bhd (PLUS)," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, PLUS dalam satu kenyataan berkata sebahagian daripada siling Plaza Tol Bukit Raja telah runtuh dipukul ribut kencang menyebabkan ia tidak dapat dilalui.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal PLUS mendapati tiada kecederaan dilaporkan sama ada melibatkan kakitangan atau pengguna lebuh raya di plaza tol terbabit.

"Pada ketika ini, pihak PLUS sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan di plaza tol terbabit.

"Tiga lorong keluar telah dibuka kepada orang ramai mulai pukul 10.40 malam. Lorong-lorong lain akan dibuka secara berperingkat," demikian menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PLUS menasihati orang ramai supaya mengikuti perkhidmatan Twitter PLUSTrafik untuk maklumat trafik terkini di Plaza Tol Bukit Raja. - Bernama


ribut

Artikel Lain