Pengantin ‘Hello Kitty’ kahwin, tapi telefon bimbit jurugambar yang ‘hang’ - Semasa | mStar

Pengantin ‘Hello Kitty’ kahwin, tapi telefon bimbit jurugambar yang ‘hang’

PETALING JAYA: Tidak dinafikan, busana pengantin adalah antara elemen perkahwinan yang menjadi penarik bagi pasangan mempelai.

Indah busananya, maka tampak bertambah berserilah pasangan merpati dua sejoli yang ingin melangkah ke alam rumah tangga.

Ibarat pinang dibelah dua, pasangan pengantin Ismail Isahak dan Sakirah Md Zain tular di media sosial kerana berani menggayakan persalinan serba merah jambu dan bermotifkan 'Hello Kitty'.

Jurugambar pasangan berkenaan, Noorefendy Kassim atau lebih dikenali sebagai 'Abam Nice' dalam kalangan pengikutnya berkata, dia sendiri terkena tempias gambar yang tular itu, sehingga telefon bimbitnya lambat memberi tindak balas (hang).

"Saya terperanjat dan gembira kerana saya anggap ini rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Telefon bimbit saya sampai hang kerana banyak menerima pesanan terus (DM) di Twitter dan Facebook, bertanyakan tentang pakej fotografi yang ditawarkan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Bagi bapa kepada dua anak itu, tidak ada salahnya untuk tampil dengan idea atau konsep sebegitu kerana ia adalah pengalaman sekali seumur hidup bagi mereka yang mendirikan rumah tangga.

"Saya pun nak pakai (kostum) juga, bukan kerana ingin tular tapi sekadar suka-suka.

"Saya mungkin pakai Power Rangers, tapi saya sudah berkahwin. Mungkin boleh pertimbangkan masa sambutan ulang tahun perkahwinan nanti," katanya yang berasal dari Lumut, Perak.

Setakat ini, hampir 60 bakal pengantin telah menghubungi Noorefendy bagi mendapatkan perkhidmatannya selepas gambar pengantin Hello Kitty itu tular sejak dimuat naik oleh pengguna Twitter, Hadi Nor pada Rabu lalu.

Pengantin tersebut memilih tarikh 18 Ogos lalu sebagai hari pernikahan mereka dan menjalankan sesi fotografi luar pada Isnin.

Gambar yang dimuat naik oleh Hadi Nor pada Rabu lalu.

Bagi jurugambar Cahaya Pictures Studio itu, tema busana pengantin tidak menjadi masalah asalkan pelanggannya boleh memberi kerjasama semasa sesi penggambaran.

"Memandangkan mereka mengenakan pakaian Hello Kitty yang berwarna merah jambu terang, lokasi penggambaran adalah terhad.

"Cabarannya adalah pada kontras warna, jadi saya memilih lokasi yang ada latar belakang warna pastel agar seri pengantin lebih terserlah," jelasnya.

Penggambaran dilakukan di Eco Palladium Johor Bahru kerana ia salah satu lokasi tarikan terbaharu di negeri tersebut.

Noorefendy turut menawarkan pakej penggambaran luar selain hari persandingan kerana enggan pengantin berasa tidak senang semasa bersanding, terkejar-kejar dan keletihan jika ia dilakukan pada hari yang sama.

Latar belakang berwarna pastel menaikkan lagi seri busana pengantin 'Hello Kitty' yang digayakan pasangan ini.

Hello Kitty , Cahaya Pictures Studio

Artikel Berkaitan