suria

Pengasuh kepada bayi 4 bulan alami pendarahan otak ditahan

Gambar hiasan

SEREMBAN: Seorang pengasuh berusia 23 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi lelaki berusia empat bulan, Muhammad Ummar Zayyan Mohamad Haikal Hafiz, yang tidak sedarkan diri ketika dalam jagaannya.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh berkata wanita itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Seremban pada 8.45 malam, Jumaat.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan tahanan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi alami pendarahan otak ketika dijaga pengasuh dimasukkan ke ICU

Thiew berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada 10.52 malam, Isnin lepas.

“Dalam laporannya, pengadu menyatakan pada hari yang sama lebih kurang 7.07 malam, pengadu mendapat tahu daripada pengasuh menyatakan anaknya dalam keadaan lemah setelah menangis dengan kuat.

“Suami pengadu terus pergi ke rumah pengasuh yang terletak di Taman Sri Mambau dekat sini untuk mengambil anak mereka dan dibawa ke hospital,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan ibu kepada Muhammad Ummar Zayyan, Zura Emilia Mokhtar berkata anaknya kini sedang dirawat di Pusat Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dekat sini, dan belum sedarkan diri.

Doktor yang merawat mengesahkan anaknya mengalami pendarahan dalam otak serta mata dan kini diberi bantuan pernafasan. - Bernama

Muhammad Ummar Zayyan

Artikel Lain