suria

Kakak, Adik sering bersama, tak sangka ia petanda dua puteri akan pergi selamanya

PETALING JAYA: Bergelar ‘abah’, seorang bapa meluahkan kerinduannya terhadap dua cahaya mata yang dijemput Ilahi sekaligus, selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Kedua-dua anak perempuannya meninggal dunia pada awal pagi Jumaat.

Menerusi status yang dikongsikan di laman sosial, Mohd Helmiardi Nosaha menyedari anak-anaknya, Nur Nailah Al Farafisha, 2, dan Nur Afina Safiya berusia 11 bulan, masing-masing dipanggil Kakak dan Adik lebih banyak menghabiskan masa bersama sejak akhir-akhir ini.

Nur Nailah, 2, (kiri) dan Nur Afina  berusia 11 bulan dijemput Ilahi pada awal pagi Jumaat, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya. Foto Facebook Ayuni Yumni

“Akhir-akhir ini, abah perasan banyak masa Kakak bermesra bersama Adik, Adik sangat gembira bila bermain dengan Kakak.

“Adik selalu minta abah dukung Adik setibanya abah di rumah setelah pulang kerja, Kakak pula selalu buat abah terperanjat dengan jeritan untuk menyakat abah setelah abah melangkah ke dalam rumah selepas penat bekerja. 

“Tapi abah tak pernah perasan yang semua tu bakal berakhir malam semalam 17/8/2018, puteriku... abah dan ibu sangat sayangkan kamu berdua,” katanya menerusi status yang kini tular.

Selain gelak tawa dan jeritan Kakak serta suara garau Adik bila meminta makanan sekiranya lambat disuap ke mulut, bapa berusia 29 tahun ini turut merindui celoteh anak-anaknya.

“Baru satu hari kamu berdua meninggalkan kami, perasaan ini terasa sangatlah rindu, telinga ini bagai terdengar akan suara kamu berdua puteriku, mata ini selalu terbayang-bayang akan pergerakanmu yang selalu bermain-main di dalam rumah, abah dan ibu takkan lupa pada Kakak dan Adik,” katanya.

Status yang dikongsikan Mohd Helmiardi di laman sosial, pagi Sabtu. 

Namun kata Mohd Helmiardi, dia reda dan menerima ketentuan takdir, malah bersyukur kerana merasa nikmat sebagai seorang bapa.

“Kakak dan adik damailah di sana, Allah telah memanggilmu, pergilah dengan tenang, Allah telah meminjamkan kamu berdua kepada ibu dan abah sekadar waktu ini sahaja, abah reda.

“Puteri-puteriku, carilah abah dan ibu... jika kamu tidak bertemu abah dan ibu di syurga, carilah sehingga jumpa, tariklah abah dan ibu ke dalam syurga Allah, di mana tiada tempat yang kekal melainkan di syurga mu Ya Allah,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut berharap agar diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama isteri, Nor Yumni Yahya, 24, tanpa diselubungi kesedihan.

“Ya Allah tabahkan hatiku dan isteriku, tanamkan perasaan reda kepada kami dengan ketentuan dan takdirMu ini. 

“Hadirkan sifat sabar di dalam diri kami Ya Allah... sebaik-baik perancangan adalah perancangan Mu Ya Allah. Ada kemanisan di sebalik kepahitan, InsyaAllah,” katanya.

Kenangan... kejutan Kakak pada hari ulang tahun perkahwinan Abah dan Ibu.

Terbaru pada pagi Sabtu, Mohd Helmiardi berkongsi lagi status di laman sosial mengenai perasaan rindu pada anak-anaknya.

“Kali terakhir kakak Nailah buat kejutan ulang tahun perkahwinan abah dan ibu setibanya abah di rumah pada 2/8/2018. Rindu celoteh kakak. Abah rindu kedua-dua puteri abah,” ujarnya.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam Khamis lalu, Nur Nailah, 2, dan adiknya, Nur Afina yang berusia 11 bulan maut selepas tercampak keluar daripada kereta jenis Honda City dinaiki bersama ibu bapa mereka yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Beserah, berhadapan Petronas Bukit Pelindung di Kuantan.

Dilaporkan, Mohd Helmiardi cedera di bahagian dada manakala isterinya, Nor Yumni, patah kedua-kedua belah kaki dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain