suria

Kena sihir cuma alasan, sebenarnya nafsu songsang!

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Sihir pemisah adalah suatu mimpi buruk bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga kerana ia boleh meruntuhkan mahligai yang dibina.

Namun, kecoh di Twitter apabila seorang lelaki didakwa tergamak menggunakan alasan terkena sihir pemisah hanya untuk menutup hakikat sebenar bahawa dia memiliki naluri songsang.

Segalanya bermula apabila pengguna Twitter, Noor Janatun Maqwa Jemali menulis bebenang tentang percintaan selepas kahwin sudah tidak relevan pada zaman kini.

Melalui posting yang dimuat naik pada Rabu, wanita berusia 25 tahun itu bercerita tentang nasib malang yang menimpa rakan perempuannya yang terpaksa bergelar janda pada usia 23 tahun.

Rakannya yang hanya dinamakan sebagai Ara itu mengetahui tentang status suaminya selepas dua bulan mendirikan rumah tangga, mungkin kerana tidak sampai hati untuk membiarkan wanita tersebut terus tertipu.

Posting yang dimuat naik oleh Noor Janatun Maqwa di laman Twitter pada Rabu lalu.

"Lelaki itu 'gay', kalian! Sengaja kahwin dengan perempuan itu sebab nak keluarga nampak dia normal.

"Dia cakap kepada keluarga, dia kena sihir orang, jadi dia hilang rasa sayang kepada isterinya," tulis Noor Janatun Maqwa.

Tambah menyedihkan, keluarga pihak lelaki mempercayai anak mereka telah disihir dan tidak bersalah serta menjadi mangsa keadaan.

Menurut Noor Janatun Maqwa, dia amat bersimpati terhadap nasib yang menimpa sahabatnya kerana terpedaya dengan imej bekas suami yang tampak normal dari segi luaran serta melayan rakannya itu dengan baik.

Kata wanita yang berasal dari Kajang itu, rakannya mendirikan rumah tangga pada tahun lalu dan rumah tangga mereka sempat bertahan selama enam bulan.

"Dia (suami Ara) memang baik, saya selalu borak dengan dia dan nampak dia macam biasa (normal).

"Dia berjanggut, tidak lembut dan tenang je hati memandangnya, macam alim. Kakitangan kerajaan pula. Biasanya kakitangan kerajaan ni kan formal," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Noor Janatun Maqwa menasihatkan agar kaum wanita mengenali bakal suami mereka sebelum mendirikan rumah tangga.

Jelas Noor Janatun Maqwa, rakannya itu merupakan seorang wanita yang lemah lembut dan jarang menceritakan masalah peribadi kepada sesiapa.

Bagaimanapun, rakannya enggan memberitahu punca sebenar penceraian mereka kepada keluarga kedua-dua pihak kerana tidak mahu membuka aib bekas suaminya.

Susulan daripada 'tweet' tersebut, Noor Janatun Maqwa mendapat kecaman apabila menyatakan bahawa bercinta selepas kahwin sudah tidak relevan sedangkan ia satu sunnah.

Namun bagi wanita terbabit, ramai pihak salah faham dengan kenyataan tersebut kerana tidak memahami keseluruhan konteks bebenang itu.

"Saya tidak cakap kena bercinta sebelum kahwin, tapi sekurang-kurangnya kenal betul-betul dulu.

"Dalam Islam pun kita dianjurkan untuk ada sesi taaruf dengan bakal pasangan," katanya.

LGBT, sihir pemisah, gay

Artikel Berikut

Artikel Lain