suria

"Dia memang kacak, macam dalam drama"

Foto pertemuan Akma dengan Choi Siwon yang tular di laman Twitter.

PETALING JAYA: Siapa sangka hero Korea pujaan ramai yang selama ini sekadar ditonton di kaca televisyen akhirnya muncul di depan mata.

Begitulah tuah seorang gadis yang tular di laman Twitter apabila foto pertemuannya dengan anggota kumpulan Super Junior, Choi Siwon mendapat perhatian ramai.

Bercerita kepada mStar Online, Akma Syazwani Kasah mengakui tidak pernah terbayang akan bertemu dengan pelakon kegemarannya dalam situasi yang tidak dijangka.

"Masa tu baru habis kerja, kawan cakap ada artis Korea kat MRT Semantan. Bila tiba di sana, saya memang cam itu Si Won sebab saya sudah lama minat dia.

"Perasaan teruja tak dapat digambarkan. Disebabkan orang pun tak ramai, saya ambil kesempatan untuk mendekati dan minta untuk swafoto dengannya.

"Dia memang kacak seperti yang kita tonton dalam drama, saya memang tak sangka sangat. Biasanya orang jumpa artis K-pop ni kat konsert, tapi saya jumpa dia di pintu masuk stesen MRT," katanya ketika dihubungi, Khamis.

Menurut gadis berusia 23 tahun itu, dia mula meminati Siwon setelah menonton lakonannya dalam drama She Was Pretty, sekitar tiga tahun lalu.

Tweet yang dimuat naik Akma pada Selasa turut mendapat perhatian ramai.

Dalam pertemuan pada Selasa lalu, Akma sempat merakam swafoto dan berbual ringkas dengan pelakon itu.

Menggambarkan Si Won sebagai seorang yang mesra, dia ternyata mengagumi usaha Si Won yang turun ke lokasi itu untuk kempen kesedaran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

"Biarpun ramai yang skeptikal dengan artis K-pop, tapi saya sokong usaha yang ditunjukkan oleh Siwon.

"Dia ada ramai pengikut, apabila dia berkempen untuk Unicef, sudah tentu ia akan mendapat liputan dan perhatian ramai," ujarnya lagi.

Menurut Akma lagi, Siwon juga begitu fasih berbahasa Inggeris sewaktu bercerita mengenai manfaat kempen yang disertainya.

Dalam pada itu, foto pertemuan Akma bersama Si Won tular sehingga menerima lebih 11,000 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter.

"Perghhh you are so lucky!! Tak perlu berebut untuk jumpa," tulis @cikalone89.

"OMG saya kerja di bangunan depan MRT je kenapa tak tahu dia datang," tulis seorang lagi pengguna Twitter.

Siwon merupakan salah seorang daripada anggota kumpulan K-pop Super Junior yang popular dengan lagu seperti Sorry-Sorry, Bonamana, Mamacita dan Mr. Simple.

Mempunyai lebih 6 juta pengikut di Twitter dan 5.3 juta di Instagram, Siwon turut aktif berlakon dalam drama seperti Oh! My Lady, Fall In Love With You Again dan Revulutionary Love.

Choi Si Won, Super Junior, MRT, Unicef

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain