suria

Nyaris maut dilempar bom ikan oleh gipsi laut

KOTA KINABALU: Sekumpulan polis marin nyaris maut selepas dilemparkan sebiji bom ikan oleh gipsi laut di perairan Lahad Datu di timur Sabah pada Selasa lalu.

Ketika kejadian, pasukan polis marin mengekori kumpulan gipsi laut atau orang Palau dengan menaiki bot laju.

Dalam insiden pada pukul 5 petang itu, suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti pengeboman ikan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, pihaknya mengesan suspek sebelum mereka melarikan diri.

"Semasa kejar-mengejar, salah seorang suspek membaling sesuatu kepada pasukan kami," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mereka berjaya mengelakkannya dan bahan tersebut kemudian meletup.

Yazib berkata, polis marin terus mengejar dan berjaya menahan suspek yang terdiri daripada empat lelaki, berusia 25 sehingga 30 tahun.

Pasukan keselamatan itu merampas barangan yang dipercayai digunakan untuk pengeboman ikan, termasuk bot yang dinaiki suspek.

Kesemua suspek disiasat kerana melakukan jenayah bagi menghalang penjawat awam melakukan tugas.

gipsi laut, palau, polis marin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain