suria

Najib terkejut menteri PH seakan mengaku GST bukan punca harga barang naik

PETALING JAYA: Selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikenakan pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun lalu, penurunan harga barang masih tidak banyak berubah dan hakikat ini diakui oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri meluahkan rasa terkejut apabila menteri dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu mengakui bahawa penurunan harga barangan yang rendah menjadi punca rakyat masih belum merasai kesan pelaksanaan tersebut.

"Terkejut saya pagi ini (Khamis) apabila membaca kenyataan Menteri PH yang mengakui GST bukan sebab utama harga barang naik biarpun itulah modal dan tohmahan digunakan terhadap kerajaan sebelum pilihan raya.

"Pada masa itu, PH tidak menerima jawapan kita malah mempersendakannya. Kini, PH terpaksa menelan hakikat di sebalik tuduhan mereka sendiri," kata Najib melalui catatan yang dimuat naik ke laman Facebook, Khamis.

Beliau merujuk laporan berita sebuah portal yang memetik kenyataan Saifuddin Nasution yang berkata harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya bermula dari 0.04 hingga 13 peratus dan melibatkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.

Terkejut saya pagi ini apabila membaca kenyataan Menteri Pakatan Harapan yang mengakui GST bukan sebab utama harga...

Posted by Najib Razak on Wednesday, July 11, 2018


Menurut Najib, beliau berasa bimbang harga barangan akan naik lebih tinggi berbanding sebelum GST disifarkan apabila cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluaskan pada September depan.

"Inilah bahaya apabila sistem cukai diubah sesuka hati dan BN pernah memberi amaran sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) mengenai ini.

"Ini sudah tentu memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan ini bertentangan dengan janji PH yang memberi setinggi harapan untuk menurunkan kos sara hidup rakyat dalam manifesto mereka," kata Najib.

Beliau turut berharap agar kerajaan akan melakukan sesuatu bagi memastikan kebimbangan tersebut tidak menjadi kenyataan.

GST, Najib Razak

Artikel Lain