"Banyak sebab, kami akan terangkan kepada Raja 'hati ke hati'" - Semasa | mStar

"Banyak sebab, kami akan terangkan kepada Raja 'hati ke hati'"

Zahidi Zainul Abidin.

PETALING JAYA: Sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Perlis yang memboikot majlis angkat sumpah menteri besar negeri berkenaan mencapai kata sepakat untuk memaklumkan kepada Raja Perlis mengenai sebab mereka menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man.

Setiausaha BN Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail perlu dimaklumkan mengenai sebab-sebab penolakan Azlan supaya baginda faham mengapa mereka memboikot majlis angkat sumpah menteri besar sebelum ini.

"Banyak sebab kenapa kami tak mahu Azlan Man. Kami akan terangkan kepada Raja, tak eloklah beritahu kepada media.

"Kita sudah hantar surat kepada Raja memohon untuk menghadap supaya salah faham ini dapat diselesaikan. Kita cuma tak mahu Azlan Man sahaja. Kenapa kita tak mahu, kita akan terangkan kepada tuanku dari hati ke hati," katanya pada sidang media, Jumaat.

Ditanya sekiranya Tuanku Syed Sirajuddin masih berkenan dengan pelantikan Azlan, Zahidi berpendapat isu itu tidak timbul sekiranya penjelasan diberikan kepada baginda.

"Bila kita terang kita harap raja faham dan baginda juga faham mengenai demokrasi. Raja kita bijaksana jadi kita rasa tak timbul soal itu," katanya.

Mengenai nama beliau dan Datuk Seri Shahidan Kassim telah dicadangkan kepada Raja Perlis, Zahidi berkata Tuanku Syed Sirajuddin mempunyai kuasa mutlak untuk memilih calon menteri besar selain Azlan.

"Raja dia mutlak, jadi kita terangkan... baginda nak pilih siapa terpulanglah. Kita terima cuma jangan Azlan Man sahaja. Kita tak mahu tu, kita ada sebab-sebab tertentu," katanya.

Biarpun terdapat gesaan daripada pihak luar supaya pilihan raya negeri diadakan, Zahidi berkata mereka tetap berpegang kepada prinsip demokrasi.

"Kita terima pendapat tersebut tapi benda ni mudah, siapa yang menang majoriti dialah yang memerintah. Macam kita buat undang-undang di Parlimen, sudah tentu majoriti akan menang.

"Biar kami yang menang kami tentukan cuma kami nak beritahu kami tetap taat setia kepada tuanku raja. Itu paling penting tak timbul pertikai tuanku.

Pada masa sama, Zahidi yakin kemelut menteri besar di negeri itu dapat diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri.

"Lepas jumpa raja boleh settle, Insya-Allah secepat mungkin... sebelum raya," katanya.

Terbaharu, BN Perlis akan menghantar senarai 11 nama calon Menteri Besar Perlis dan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin, minggu hadapan.

Kemelut Menteri Besar Perlis telah memasuki minggu ketiga, walaupun Azlan sudah menggalas jawatan itu sejak minggu lalu.

Krisis bermula apabila Shahidan menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambung Tulang sebagai calon Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, pencalonan Ismail tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin kerana baginda tidak mahu Menteri Besar Perlis menjadi 'boneka' kepada pihak tertentu.

Sembilan Adun BN memboikot istiadat berkenaan sebagai bantahan terhadap pelantikan semula Azlan yang berlangsung di Istana Arau pada 24 Mei lalu.

Kejadian itu menimbulkan murka Tuanku Syed Sirajuddin kerana semua Adun berkenaan telah mendapat surat jemputan dari pihak Istana dua hari sebelum majlis berlangsung.

Azlan Man , MB Perlis

Artikel Sebelum

Rafizi terlepas hukuman penjara

Artikel Berkaitan

raja perlis

Adun BN menghadap Raja Perlis

'Azlan sebaiknya tarik diri'

Artikel Lain