suria

Skandal 1MDB: Khairuddin buat laporan FBI di New York

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, beliau membuat laporan itu kepada FBI terhadap "Najib dan rakan-rakannya" di New York, 12 Mei lalu.

"Di pejabat FBI di New York, saya juga menulis surat kepada Presiden AS untuk memberitahunya tentang salah laku Najib kerana ia menyalahgunakan kewangan kerajaan dan wang rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (21 Mei).

Khairuddin sebelum ini tidak dapat memfailkan laporan kepada FBI pada tahun 2015 kerana beliau ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) sebelum dijadualkan meninggalkan negara ini.

Khairuddin juga memberitahu bahawa beliau telah membuat laporan polis yang baharu di Sydney, Australia pada 26 Februari terhadap Australia dan New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) kerana tidak memberitahu pihak berkuasa penguatkuasa undang-undang Malaysia dan membenarkan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib dipindahkan ke Singapura.

Beliau juga membuat laporan dengan Jabatan Peguam Negara di Switzerland pada 7 April.

Khairuddin berkata beliau lega kerana Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuatnya pada tahun 2014.

"Di bawah kerajaan Pakatan Harapan baru yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak lagi perlu menutup kes yang menyiasat skandal kewangan ini," katanya.

Khairuddin Abu Hassan, FBI

Artikel Berikut

Artikel Lain