suria

Anwar bebas hari ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan kira-kira pukul 1 petang ini selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan perkara itu berkata Ketua Umum PKR itu perlu bertanding di kerusi Parlimen selepas mendapat pengampunan dan kemudian barulah boleh dilantik ke dalam Kabinet.

Bercakap pada majlis Wall Street Journal di Tokyo semalam menerusi persidangan video, beliau berkata pelantikan Anwar ke dalam Kabinet belum diputuskan.

Dr Mahathir berkata beliau akan terus menerajui kerajaan selama satu atau dua tahun sebelum meletak jawatan dan menyerahkan tugasnya kepada Anwar.

"Pada peringkat awal, mungkin satu atau dua tahun, saya akan menerajui kerajaan.

"Sebab mengapa rakyat menyokong kami adalah kerana percaya kepada kepimpinan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang timbul," katanya.

Ditanya mengenai peranan Anwar sebelum menjadi perdana menteri, Dr Mahathir berkata:"Kami adalah gabungan empat parti dan semua kami mempunyai kekuatan dan pengaruh yang sama dalam pakatan ini."

"Beliau adalah ketua salah sebuah parti jadi saya jangka beliau akan memainkan peranan yang sama dengan pemimpin tiga parti yang lain," katanya.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantunya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Jawatankuasa pengampunan diraja akan bersidang hari ini berhubung permohonan bagi mendapatkan pengampunan diraja kepada Anwar.

Anwar Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain