suria

Lawak Syamsul Debat bukan dibuek-buek!

Syamsul Debat terkenal dengan gaya santai dan bersahaja serta menyelitkan unsur jenaka dalam ceramahnya.

SIKAMAT: Keletah bersahaja ditambah dengan jenaka loghat 'Nogori' yang diselitkan personaliti dakwah, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat di dalam setiap ceramahnya membuatkan penonton tak kering gusi.

Mula dikenali kerana gaya ceramah santai dan kepetahannya ketika berbicara hingga mampu memikat penonton ternyata memberi kelebihan kepada dirinya yang juga calon Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

Anak kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu bakal berdepan saingan daripada penyandang Aminuddin Harun (PKR), Rahim Yusof (PAS) dan calon (bebas) Bujang Abu.

Menurut bapa kepada lima cahaya mata itu, beliau bertuah kerana mewarisi sifat jenaka arwah bapanya, Ismail Alias selain kepakarannya dalam bidang pengucapan awam dan motivasi.

"Arwah abah memang seorang yang kelakar. Ramai cakap saya mewarisi sifat ini daripadanya.

Syamsul berdepan saingan daripada tiga calon lain.

"Bila kami sekeluarga berkumpul ramai-ramai contohnya pada Aidilfitri, ada saja cerita yang keluar. Kami anak-beranak... satu keluarga gelak je lah.

"Paling saya tak boleh lupa bila saya call kata, "Bah duit dah koring la", dan dia  akan jawab, "(duit) basah macam mana pula."

"Itu antara memori lawak dengan arwah abah yang sentiasa kekal dalam ingatan saya," katanya ketika ditemui mStar Online di sini baru-baru ini.

Jelas anak sulung daripada lima beradik yang berusia 40 tahun ini, adik-adiknya juga memang suka melawak antara satu sama lain.

"Kami memang kelakar dan jenis suka bergurau satu keluarga. Adik kedua saya, Syamsul Fadzly memang sebiji sifatnya macam saya.

"Kalau ada perkara serius kena seriuslah, tengok keadaan... tapi bila tengah serius tu ada je lah lawak terkeluar, kadang-kadang tu benda biasalah. Mak pun gelak je," katanya.

Syamsul mencium ibunya, Hasnah pada program Kasih Ibu Membawa Ke Syurga anjuran Puteri Umno Bahagian Seremban di Paroi Jaya.

Selain Syamsul Amri dan Syamsul Fadzly, 36, tiga lagi adik-beradik mereka ialah Syamsul Hafiz, 32 dan kembar Syamira Hafiza serta Syamsul Hafizi yang berusia 26 tahun.

Ditanya mengenai unsur jenaka yang diselitkan dalam setiap ceramahnya, Syamsul berkata gaya tersebut hadir secara semula jadi.

"Saya bukan rancang lawak tu, kadang-kadang memang keluar spontan sebegitu. Itu memang diri saya.

"Ada pepatah Melayu cakap, tak kenal maka tak cinta. Jika anda dah kenal saya, anda tahu unsur jenaka ini bukan dibuat-buat," katanya.

Malah, graduan Ijazah Sarjana Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, profesion sebagai pendakwah membolehkan beliau bersahabat dengan beberapa pelawak terkemuka tanah air.

"Saya kenal ramai pelawak dekat Malaysia lepas mereka join ceramah kadang-kadang sebagai moderator.

"Tapi saya paling rapat dengan Zizan... kami selalu berhubung melalui WhatsApp. Saya juga berkawan dengan Shahrul Shiro, Rahim Sepahtu dan Nabil," katanya.

Mengimbau kembali nostalgia yang tidak boleh dilupakan, Syamsul berkata beliau masih ingat lagi apabila terpaksa mengorbankan waktu bermain dengan membantu ibunya Hasnah Rais, 60, berniaga nasi lemak dan kuih muih.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang berniaga. Mak saya jual nasi lemak dan kuih muih. Saya dan adik-beradik lain sebelum buat kerja rumah kami akan tolong ibu lap daun pisang untuk bungkus nasi lemak, masa tu saya di Tingkatan 4.

"Kami semua akan bangun pukul 4.30 pagi bantu ibu. Saya akan salut donut dengan gula kastor, isi inti kuih karipap dan juga kuih koci. Lepas subuh, saya naik motor hantar nasi lemak dekat kedai di simpang kampung kami.

"Masa hujung minggu pula, bila kawan pergi main atau jalan-jalan, kami akan tolak stall mak sampai kat depan rumah dan tolong dia berniaga. Itulah kenangan terindah kami adik-beradik," katanya.

Syamsul hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam Sabtu lalu.

Mengenai pengalaman diturunkan sebagai calon buat pertama kali, Syamsul berkata tiada apa-apa perubahan dari segi rutin harian memandangkan beliau sering bertemu dengan orang ramai semasa berdakwah.

"Sama rasanya sebab saya ceramah sampai enam kali sehari. Saya pergi mana-mana pun memang jumpa orang. Orang memang nak tegur dan ambil gambar dengan saya. Itu dah biasa tak ada beza pun.

"Cuma bezanya kali ini masyarakat nak rapat dengan saya. Macam sebelum ini saya bagi ceramah di luar Negeri Sembilan, tapi kali ini mereka rasa seronok sebab saya jadi 'milik' mereka sekarang.

"Mereka akan jumpa dengan saya beritahu apa mereka nak dan paling mereka tak sangka dulu tengok saya kat TV, sekarang nampak dekat jadi mereka excited," katanya.

Memandangkan beliau hanya tidur dua hingga tiga jam sehari kerana kesibukan berkempen, Syamsul berkata beliau mengamalkan cara pemakanan yang sihat untuk memastikan sentiasa cergas sepanjang hari.

"Saya berazam untuk tidur cukup-cukup selepas keputusan keluar. Sekarang tidur memang tak cukup, dua hingga tiga jam sehari.

"Sebab itu setiap pagi saya amalkan makan salad dan epal hijau selain dua biji pisang. Kemudian pukul 2 atau 3 petang saya makan nasi dengan ayam atau ikan bakar.

"Saya kurangkan nasi sebab ia akan buat kita mengantuk. Alhamdulillah ia amat membantu selain istighfar banyak-banyak dan paling utama jangan tinggal solat," katanya.

Syamsul turun padang mendekati rakyat di Sikamat dengan menunggang motosikal bersama calon Parlimen Seremban, Datuk Chong Sin Woon (MCA).

Diminta mengulas mengenai dakwaan skandal dengan isteri orang, suami kepada Ungku Norhayati Ungku Abu Bakar itu berkata kontroversi berkenaan tidak menjejaskan kempennya.

"Tak jejas kempen. Itu adalah dakwaan dan tohmahan yang dibuat-buat... hearsay (cakap-cakap) sahaja. Alhamdulillah masyarakat di sini menerima kehadiran saya dengan begitu baik.

"Saya tak nak ikut rentak pihak lawan, saya hanya fikir positif kerana persepsi setiap orang berbeza-beza. Ia tidak pernah buat saya rasa down," katanya.

Meskipun kontroversi itu digunakan pembangkang untuk menyerangnya, Syamsul berkata beliau tidak akan menggunakan pendekatan 'serang balik' lawannya.

"Kalau sibuk layan isu peribadi takkan selesai. Kita tak perlu nak bantai atau caci maki mereka sebab Nabi (Muhammad SAW) tak ajar. Kita hanya cakap perkara yang baik-baik mengenai apa yang kita nak bawa kepada masyarakat.

"Pendekatan sebegitu yang kita cuba bawa dalam BN. Kita kena positif dan tahu apa yang masyarakat mahukan," katanya.

Syamsul Debat, DUN Sikamat, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain