suria

Rais juga berdepan tindakan jika... - Ku Nan

Rais Yatim.

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Tan Sri Dr Rais Yatim akan berdepan tindakan parti sekiranya beliau naik  ke pentas pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam Umno.

Beliau berkata, buat masa ini status veteran Umno itu masih belum diputuskan kerana difahamkan bekas menteri tersebut hanya mengkritik parti menerusi media sosial.  

"Media sosial ni kadangkala betul, kadangkala tidak, ada juga orang guna akaun palsu dan sebagainya. Jadi sebagai setiausaha agung parti kita mempunyai struktur dan kita akan lihat.

"Semalam (Sabtu), apabila saya bincang dengan jawatankuasa (khas), kita masih kabur sebab itu kita tidak ambil tindakan lagi. Kalau dia (Rais) melampaui  batas, duduk di pentas pembangkang dan menghentam parti, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Tengku Adnan diminta mengulas mengenai kedudukan Rais yang dilaporkan masih dalam siasatan parti selepas Umno bertindak menggugurkan keanggotaan dua veterannya yang juga bekas menteri, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz berikutan tindakan mereka menyokong pembangkang dan menghentam parti.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan juga berkata, beliau mempunyai kuasa untuk menggugurkan keanggotaan kedua-dua tokoh berkenaan atas kapasitinya sebagai pengerusi jawatankuasa khas yang membincangkan isu tersebut.

"Saya telah minta persetujuan daripada jawatankuasa khas yang juga saya pengerusikan. Kita ada etika parti dan mereka (veteran Umno) pun tahu (mengenai etika itu)," katanya.

Tengku Adnan juga meminta semua veteran Umno, berkenaan merenung kembali segala dasar parti selama ini dan sokongan yang diberikan kepada mereka.

"Sekarang saya tidak tahu mengapa mereka keluar mengata Umno tidak bagus. Saya minta mereka renungi diri mereka sendiri siapa mereka dahulu, bagaimana mereka sekarang, macam mana anak-anak mereka sekarang mendapat keselesaan. Bukankah ini semua kerana dasar-dasar Umno," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, momentum kempen BN kini berada pada tahap baik menjelang hari pengundian Rabu ini.

Malah calon BN bagi Parlimen Putrajaya itu yakin parti tersebut akan mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini berdasarkan hala tuju dan matlamat yang jelas dalam manifestonya.

"Manifesto pada PRU13, 99.4 peratus telah dicapai. Saya yakin rakyat akan memberi peluang lagi kepada BN untuk memastikan masa depan mereka akan terjaga," katanya yang ditemui pada majlis pecah tanah Kompleks Masjid Ar-Rahman dan sekolah rendah agama di Presint 9, di sini. - Bernama

Rais Yatim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain