suria

Nazri bidas 3 bekas menteri yang kini bantu Tun M

Nazri Aziz.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz melabelkan bekas menteri kabinet yang bersama-sama mengkritik kerajaan sebagai 'hikpokrit'.

"Mereka merupakan yang paling banyak mendapat manfaat semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno dan perdana menteri," katanya kepada The Star.

Nazri berkata demikian merujuk kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, dan juga bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Ketiga-tiga mereka adalah menteri kabinet semasa tempoh 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Nazri juga berkata, ketiga-tiga mereka kini menentang kerajaan bukan sesuatu yang menghairankan kerana mereka sebelum ini pun sebahagian daripadanya.

"Mereka mungkin tidak mendapat apa-apa semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri, jadi mereka amat tidak berpuas hati," katanya.

Nazri turut mempersoalkan keikhlasan ketiga-tiga individu berkenaan dalam berkempen bersama-sama dengan Pakatan Harapan.

"Ironinya sekarang ialah mereka adalah sebahagian daripada kumpulan (PKR) yang satu ketika dahulu pernah menentang mereka.

"Bagi saya, orang-orang ini tidak relevan dan hanya alat untuk pembangkang," katanya.

Terdahulu pada Khamis, sebuah portal berita melaporkan bahawa Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran bahawa Rafidah, Rais dan Daim boleh dipecat daripada parti itu kerana kritikan mereka terhadap Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, sebarang tindakan yang akan diambil terhadap ketiga-tiga mereka akan diputuskan berdasarkan kes memandangkan Umno merupakan parti yang adil.

Rafidah menerusi posting di Facebook pada Selasa lalu, menggesa rakyat Malaysia untuk menolak Umno dan menyerahkan mandat kepada Pakatan Harapan untuk memerintah negara.

Isnin lalu, Rais turut mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana memotong gambar Dr Mahathir daripada papan tanda pembangkang.

Daim turut berkempen untuk pembangkang, dengan menggesa rakyat Malaysia mengundi Pakatan Harapan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain