Kak Long sedia gegar pentas politik negara - Semasa | mStar

Kak Long sedia gegar pentas politik negara

SEJAK akhir-akhir ini, nama Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid sering mendapat perhatian pengguna laman sosial.

Selain bergelar anak kepada pemimpin negara, wanita yang lebih dikenali dengan panggilan Kak Long dalam kalangan pengikut setianya itu juga merupakan seorang personaliti televisyen.

Namun, status yang disandang oleh isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff itu tidak menghalangnya menjalani kehidupan seperti rakyat biasa.

Ianya jelas apabila pertemuan yang diaturkan dengan mStar Online tidak diadakan di restoran mewah mahupun pusat beli-belah terkemuka, sebaliknya siapa sangka anak sulung kepada timbalan perdana menteri itu mengajak untuk bertemu di Pasar Borong Selangor bagi bersama-sama dengannya ketika membeli barangan dapur.

Jika kebiasaannya orang lain sudah lena diulit mimpi, Nurulhidayah memilih untuk mengunjungi Pasar Sri Ternak seawal pada pukul 1 pagi.

"Saya ni agak memilih, bukannya kedekut tetapi bila nak membeli barang dapur tu biarlah harganya berpatutan. Jika di tempat lain sudah cecah RM500 ke RM800 satu troli, tapi di sini baru RM300 lebih.

"Saya suka datang ke pasar ni pada waktu macam ni kerana orang tak ramai dan ia dibuka 24 jam. Saya boleh datang lepas habis kerja," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, kata Nurulhidayah, beliau akan berkunjung ke pasar yang terletak di Seri Kembangan itu dua minggu sekali untuk berbelanja.

Walaupun jadual hariannya sentiasa padat, anak sulung kepada lima beradik ini akan memastikan dirinya memasak sekurang-kurangnya sekali seminggu buat keluarga tercinta.

Tambah menarik lagi apabila wanita ini mewarisi bakat memasak ibu dan arwah neneknya ketika seawal usia 11 tahun lagi.

"Kalau ada kesempatan, saya akan masak untuk mak dan abah (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi). Abah paling suka umbut masak lemak.

"Abah tidak cerewet dengan makanan dan saya banyak belajar cara menyediakan lauk kegemaran abah daripada mak," katanya yang mempunyai seorang adik lelaki, Ahmad Khairul Hafiz.

Wanita berkelulusan ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari UPM pada 2012 ini adalah ibu kepada tiga cahaya mata, masing-masing dua lelaki berusia 15 dan 10 tahun, manakala yang perempuan berusia sembilan tahun.

Tambah Nurulhidayah, setiap hari beliau perlu berdepan dengan pilihan walaupun ia melibatkan hal-hal kecil seperti membeli barangan dapur.

Kata Pengarah Urusan Nour Hotel and Resorts itu, walaupun bapanya berjawatan tinggi, beliau masih perlu menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Nurulhidayah bersama kedua ibu bapa, suami dan madunya pada hari penamaan calon yang berlangsung Sabtu lalu.

"Kita perlu menjadi pembeli yang bijak. Bila nak memilih, ambil yang berkualiti dan yang boleh bagi keuntungan kepada perbelanjaan kita.

"Begitu juga ketika memilih pemimpin, pilihlah yang boleh memberikan nilai tambah yang baik kepada rakyat dan negara," katanya yang mendedahkan akan menceburi pentas politik untuk bertanding dalam pemilihan Umno yang akan datang.

Mengimbau kenangan ketika mengikuti bapanya keluar berkempen pada musim pilihan raya, Nurulhidayah tidak dapat melupakan kenangan mengikuti bapanya melawat penduduk yang kebanyakannya duduk di ladang kelapa sawit.

Walaupun penat tetapi Nurulhidayah yang ketika itu belum memahami sepenuhnya bidang tugas bapanya sebagai seorang wakil rakyat, tetap berasa seronok dan tidak akan melupakan kenangan itu sampai bila-bila.

Baginya, tempoh 20 tahun bapanya bergelar ahli parlimen itu masih belum cukup untuk berbakti kepada rakyat.

Ditanya apakah kerjaya yang mungkin diceburinya jika dirinya bukan anak pemimpin utama negara, wanita yang tidak lokek dengan senyuman itu ringkas menjawab : "Pelakon atau penyanyi."

Tambahnya lagi, dirinya terlibat aktif dalam industri hiburan kerana sering menyertai aktiviti kesenian ketika mengikuti pengajian di universiti.

Nurulhidayah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain