suria

Kebaya Merah: “Mereka Tanya Seronok Ke Takut-Takutkan Orang?”

SEORANG individu yang dikaitkan sebagai dalang dalam pembikinan video hantu kebaya merah sehingga kini tidak henti-henti dihubungi orang ramai yang mahu bertanya mengenai kesahihan kejadian itu.

Nazrul Hisham Abdul Manaf, yang mana nombor telefonnya telah tersebar menerusi paparan skrin perbualan kumpulan WhatsApp komuniti 'Taman Bunga Raya Official' bagaimanapun menafikan penglibatannya dalam video tular itu.

Dia ketika dihubungi mStar Online pada Khamis mendakwa kenyataannya dalam perbualan WhatsApp berkenaan telah disalah erti kerana dia sekadar mahu menyindir orang ramai sahaja yang didakwa mudah percaya dengan apa yang dipaparkan di media sosial lebvih-lebih lagi apabila sesuatu posting itu tular.

"Bila semua dah bising pasal video hantu semalam (Rabu), saya sengaja buat kenyataan dalam bentuk sarcasm (sindiran).

"Tapi ramai yang tak faham ayat saya sehingga mereka menyangka saya dalang sebenar. Saya ni bukannya ada masa nak buat video macam tu.

"Yang saya pelik kenapa ramai yang mudah percaya. Dalam dunia moden 2018 ni, tak susah pun untuk buat video macam tu, sesiapa pun boleh buat," ujar Nazrul.

Paparan skrin kumpulan WhatsApp yang tersebar di media sosial yang menyebabkan Nazrul Hisham dituduh terlibat dalam pembikinan video hantu kebaya merah.

Lelaki berusia 40-an dari Rawang itu berkata, jika kejadian itu benar sekali pun, tiada apa yang perlu dihairankan kerana dalam Al-Quran ada memberitahu mengenai kewujudan makhluk ghaib.

Selepas nombor telefonnya tersebar, dia menerima lebih 50 panggilan dan hampir 100 mesej sejak semalam.

"Ramai yang menghubungi saya untuk tahu cerita sebenar. Mereka tanya seronok ke takut-takutkan orang?.

"Yang maki saya pun ada, tapi saya tak kisah. Tak terfikir pun nak matikan telefon atau tukar nombor," katanya.

Bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai, dia menerusi akaun Facebooknya berkongsi satu posting Kelab Penjejak Alam Mistik/Ghaib yang mendakwa video berkenaan merupakan salah satu babak dari sebuah filem yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Dalam posting itu, pengendali akaun berkenaan mendakwa video kebaya merah itu merupakan satu strategi pemasaran sahaja.

Namun sehingga kini tidak dapat dipastikan produksi manakah yang bertanggungjawab menerbitkan video berkenaan.

kebaya merah, hantu, video viral

Artikel Lain