suria

Gadis 15 Tahun Dicekup Khalwat Bersama 2 Lelaki

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Keputusan berani seorang gadis menginap di sebuah bilik hotel bajet bersama dua lelaki mengundang padah apabila ditangkap dalam operasi cegah maksiat pada Rabu.

Lebih malang, gadis berusia 15 tahun yang ditangkap kira-kira jam 2.10 petang itu terpaksa bermalam di lokap Balai Polis Kuala Terengganu sementara menunggu perintah reman untuk sebutan kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada Khamis.

Turut mengalami nasib sama, salah seorang teman lelakinya berusia 18 tahun manakala lelaki berusia 21 tahun dilepaskan dengan bon jaminan.

Kedua-dua remaja ini seterusnya akan dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak atas permintaan ahli keluarga masing-masing demi menjamin masa depan mereka.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap kerana didapati berdua-duaan bersama seorang wanita yang juga pekerja tukang urut dalam serbuan sempena Ops Rumah Urut di bandaraya ini, Rabu.

Lelaki bersama pasangannya ditahan kira-kira jam 1.50 petang, bagaimanapun dilepaskan dengan bon jaminan dan dikehendaki hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pasangan itu ditahan dibawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan tersebut. - Sinar Online

khalwat

Artikel Lain