suria

'Panas' Tengok Bendera Parti Lain, Kumpulan Anak Muda Ini Pacak 'Bulan' Di Puncak Gua

PETALING JAYA: 'Panas' melihat warna bendera parti politik lain sudah dinaikkan di sepanjang jalan di kampungnya, sekumpulan pemuda mengambil langkah berani memanjat sebuah gua untuk mengibar bendera parti bulan yang disokong mereka.

Alif Amiru, salah seorang daripada kumpulan anak muda itu berkata, dia bersama enam lagi rakannya membuat keputusan untuk mendaki Gua Chiku di Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan, selepas 'tidak tahan' melihat pelbagai bendera parti politik berkibaran di kampungnya.

”Kami berbincang lebih kurang tiga hari dan bersetuju untuk bertemu tok penghulu kampung tentang idea kami. Beliau memberi bendera dan sempat nasihatkan kami supaya berhati-hati.

”Bagi saya tindakan ini tidak salah kerana penduduk sama-sama menyemarakkan bahang Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi walaupun belum tahu pun bila tarikh sebenar mengundi tu," katanya kepada mStar Online.

Gambar Alif, 26, atau lebih senang dipanggil Moyuu bersama kawan-kawannya sedang mendaki dan akhirnya berjaya mengibar bendera PAS tular di beberapa kumpulan Facebook popular pantai timur, pada Jumaat.


Dalam posting yang dimuatnaik olehnya, dia menulis: “Orang kata pangkah PAS gelap masa depan, agak-agak gelap lagikah kalau macam ni? Ke nak letak tinggi lagi?? hihihi. Biarlah orang cakap kita buat kerja gila pun, janji kita tak usik harta orang.”

Rata-rata netizen kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kumpulan anak muda itu dalam membuat persediaan PRU14 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Dia turut menjelaskan di Facebook bahawa dia dan rakan-rakan tidak menerima sebarang bayaran dengan melakukan aktiviti itu, tetapi hanya memerlukan bendera untuk dipasang jika ada pihak yang meminta mereka membantu dalam kempen pilihan raya.

Mengulas lanjut Moyuu berkata dia mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke bahagian atas gua.

”Tinggi gua itu lebih kurang 15 tingkat rumah flat. Ini pertama kali saya panjat gua tu. Alhamdullilah tidak ada sebarang kecederaan yang berlaku kepada kami.

”Terasa puas sebab tengok bendera PAS berada tinggi dari bendera lain," katanya.

Moyuu (depan) bersama kawan-kawan mendaki gua di Kampung Ciku 2.

Tambahnya, dia akan meneruskan misinya lagi selepas ini jika ada pihak yang tampil memberi sokongan kepada kumpulannya.

"Kami bercadang akan daki lagi dalam masa terdekat ini dan jadikan puncak gua itu diselubungi warna hijau. Dah ada orang janji nak bagi bendera lebih banyak.

”Kami okay sahaja. Lagipun aktiviti ini kami tak usik harta orang lain. Tak kisahlah orang cakap ni kerja gila ke apa,” jelasnya.

Bendera Atas Gua, PAS, Ciku 2

Artikel Lain