suria

Peserta Malaysia Ungguli Pertandingan Hafazan Al-Quran Asia Pasifik

Ahmad Luqman Ahmad Zaini (kanan) dan Muhammad Dzulfaqar Mohd Zaini menunjukkan piala johan menghafaz al-Quran Kategori 10 juzuk dan kategori 20 juzuk yang dimenangi mereka pada pertandingan Musabaqah Hafalan Al-Quran ke-10 anjuran Yayasan Sultan bin Abdul Azeez Assaud di Indonesia setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Foto: Bernama

SEPANG: Dua peserta Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul johan dalam dua kategori pada Pertandingan Musabaqah Hafalan Al-Quran peringkat Asia Pasifik yang berlangsung di Jakarta Indonesia pada 20 hingga 22 Mac lepas.

Ahmad Luqman Ahmad Zaini, 20, dan Muhammad Dzulfaqar Mohd Zaini, 19, masing-masing dinobatkan sebagai juara bagi kategori hafazan 10 dan 20 juzuk selepas menewaskan 70 peserta daripada 14 negara yang mengambil bahagian.

Berkongsi rahsia kemenangan, Ahmad Luqman berkata beliau yang mula menghafaz al-Quran sejak berumur tiga tahun tetap merasa gementar apabila terpilih mewakili negara, apatah lagi perlu berdepan dengan peserta dari Indonesia dan Filipina yang ternyata hebat dalam menghafal ayat suci al-Quran.

Pelajar tahun kedua Diploma Tahfiz Darul Quran Kuala Kubu Bharu itu berkata bimbingan guru bermula ketika beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh dan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh, Negeri Sembilan ternyata banyak membantunya menjadi seorang penghafaz  al-Quran yang baik.

"Walaupun pernah bergelar juara kategori sama pada pertandingan hafazan peringkat kebangsaan tahun lepas, tetapi persaingan kali ini dirasakan lebih sengit kerana melibatkan peserta peringkat antarabangsa.

Masa sampai saya rasa tidak sedap badan seperti mahu demam, namun atas semangat membawa nama negara saya kuatkan tekad dan Alhamdulillah berjaya menghabiskan bacaan tanpa masalah," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jakarta pada Jumaat.

Selain mereka berdua, Malaysia turun diwakili oleh Muhammad Abdullah Azidin, Ahmad Shawqi Hasbullah dan Faris Izwan Nordin yang bersaing dalam empat kategori lain yang dipertandingkan iaitu 30, 20, 15, dan 10 juzuk.

Ahmad Luqman yang bercita-cita menjadi pensyarah bertekad mempertingkatkan teknik hafazan bagi membolehkannya bertanding dalam kategori lebih tinggi di masa akan datang.  Dalam pada itu, Muhammad Dzulfaqar berkata kejayaan tersebut memberi makna cukup besar buat dirinya yang lahir dalam keluarga besar yang menjadikan hafazan Al-Quran sebagai sebahagian cara hidup.

Beliau yang kini bertugas sebagai Imam di Surau Syed Muhammad Jamalullail di Ipoh, Perak juga merupakan bekas pelajar tahfiz di sebuah maahad tahfiz di Lawin.

Anak ke-12 daripada 14 adik beradik itu berkata kehidupan sebagai bekas pelajar tahfiz serta sebagai imam banyak membantunya dalam menguasai teknik hafazan dan mengaplikasikannya ketika mengimamkan solat di surau.

Kejayaan itu menyaksikan Ahmad Luqman membawa pulang wang tunai RM22,700 manakala Muhammad Dzulfaqar RM22,000 beserta sijil dan piala iringan. -Bernama

Hafazan Al-Quran, Asia Pasifik

Artikel Lain