suria

Tanah Runtuh: 35 Terperangkap Di Bukit Bendera

GEORGE TOWN: Seramai 35 orang termasuk dua kanak-kanak terdiri daripada penduduk dan pekerja di Bukit Bendera terperangkap di kawasan itu sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua mereka tidak dapat turun kerana laluan kereta api dan trek untuk kenderaan ditutup berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

"Mereka terperangkap sejak Sabtu lepas setelah hujan lebat dan angin kuat sehingga menyebabkan beberapa kawasan di Bukit Bendera berlaku tanah runtuh," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata ketika ini pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibantu Perbadanan Bukit Bendera sedang cuba membawa turun mangsa.

"Kami sedang mencuba membawa turun mereka, berjalan kaki kerana semua akses kenderaan ditutup akibat tanah runtuh dan pihak ATM juga akan membuat pemantauan dengan  helikopter bagi  meninjau  dari udara," katanya.

Anuar berkata pihak ATM akan membantu membawa turun kesemuanya menggunakan helikopter sekiranya misi berjalan kaki gagal.

"Kami sentiasa berhubung dengan mangsa di atas Bukit Bendera dan ketika ini mereka semua dalam keadaan baik serta bekalan makanan masih mencukupi. Kami harap dapat membawa turun mangsa hari ini," katanya.

Beliau berkata operasi menyelamat bermula pukul 10 pagi ini dan difahamkan ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam untuk pasukan penyelamat berjalan sampai ke kawasan atas Bukit Bendera.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.-- Bernama 

Bukit Bendera

Artikel Sebelum

Air Mata Anak Syurga

Artikel Berikut

Artikel Lain