suria

Air Mata Anak Syurga

PETALING JAYA: Rutin seorang cikgu merakamkan diri sendiri ketika melakukan bahasa isyarat atau kod tangan tiba-tiba bertukar menjadi momen yang penuh emosi.

Semuanya selepas kunjungan empat pelajar pendidikan khas Tingkatan Lima yang juga calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk  'memohon restu' insan bergelar pendidik yang dihormati.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir di Batu Berendam, Melaka menyaksikan tangisan anak-anak yang mempunyai masalah pendengaran, menerusi dua video yang kini tular.

“Anas minta maaf kalau ada buat salah. Tolong halalkan, maafkan,” kata seorang pelajar sebelum guru berkenaan memintanya untuk memakai implan pendengaran.

“Kalau dengar nanti menangis, macam mana,” kata pelajar itu sambil berjenaka, tetapi sebenarnya mengundang sebak bagi netizen yang menonton.

Sesi Anas (kanan) bertemu dengan gurunya mengundang sebak netizen.

Guru berkenaan, Duzaimah Kamaruddin, 43, berkata, dia tidak menyangka video tersebut tular kerana baginya ia adalah kebiasaan menjadi guru pendidikan khas bagi pelajar yang mengalami masalah pendengaran selama 18 tahun. 

Katanya, ia merupakan sesi pertemuan bersama empat pelajar istimewa yang merupakan calon SPM tahun ini iaitu Anasfaidhy Sabri, 17, Muhamad Faiz Aziz, 19, Muhammad Haikal Asyraf Ibrahim, 19, dan Noor Hafizah Mohammad Hamzah, 20.

“Ikutkan memang nak menangis melihat kesungguhan mereka datang berjumpa saya (minta restu), sebab saya dah anggap mereka macam anak-anak saya sendiri.

“Tapi saya cuba tahan nangis sebab nak bagi kekuatan kepada mereka bagi menghadapi SPM,” katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Noor Hafizah turut mengalirkan air mata.

Walaupun hanya bahasa isyarat dan suaranya yang dirakamkan di dalam video tersebut kerana membelakangi kamera, tetapi guru itu tidak dapat menyembunyikan apa yang tersirat dalam hati kecilnya.

“Kata-kata mereka semua buat saya mahu menangis. Paling saya sebak bila Faiz yang menggunakan bahasa isyarat memberitahu ‘dia nak tarik saya masuk syurga’.Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu,” katanya.

Dengan nada tersekat-sekat menahan sebak, guru Bahasa Melayu itu berkongsi pengalamannya semasa hari pertama SPM pada Isnin, memikirkan tentang pelajarnya.

“Secara kebetulan kertas peperiksaan pada hari pertama SPM semalam adalah Bahasa Melayu 1. Kerana terlalu fikirkan tentang bagaimana mereka menghadapi peperiksaan, sampaikan ia mengatasi selera makan saya,” katanya.

Asyraf diberi kata-kata semangat agar menjadi pelajar yang rajin.

Sebagaimana yang disampaikan dalam video yang tular, Duzaimah menyedari setiap pelajarnya mempunyai tahap kepintaran dan kebolehan yang berbeza.

Namun guru yang berasal dari Melaka ini berkata, ia bukan penghalang untuk terus memberikan kata-kata semangat kepada pelajar dari pendidikan khas ini.

“Saya tahu kemampuan mereka, bukan senang untuk dapat A, juga bukan mudah untuk dapat B. Jadi, saya beri semangat untuk mereka untuk melakukan yang terbaik. 

“Saya mungkin tak dapat bantu mereka menjadi pelajar yang cemerlang, tapi sekurang-kurangnya mereka dapat menjadi orang yang berguna, mempunyai sahsiah diri yang tinggi, bersedia menjalani kehidupan yang masih panjang,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain