suria

Api Misteri: Keluarga Ditempatkan Sementara Di Pengkalan Chepa

Zainab Sulaiman. foto Sinar Online.

KOTA BHARU: Keluarga Zainab Sulaiman, yang dihantui dengan ‘api misteri' sehingga dikatakan menyebabkan rumahnya musnah terbakar di Kampung Penambang di sini bulan lepas akan ditempatkan sementara di sebuah rumah berhampiran Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa di sini.

Penghulu Mukim Penambang Zainuddin Zakaria berkata keluarga berkenaan ditempatkan di rumah itu atas permintaan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, Wan Ubaidah Omar sementara menunggu rumah yang dibina untuk keluarga itu siap.

“Rumah yang sedang dibina itu berhampiran rumah adik kepada Zainab iaitu Faridah, 75, juga di Kampung Penambang dan dijangka siap tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Zainuddin berkata rumah baharu tidak dibina di tapak rumah Zainab yang terbakar pada 19 September lepas kerana dibimbangi rumah baharu itu juga akan terbakar.

Pada Isnin, media melaporkan akibat kebakaran rumah yang mereka dakwa berpunca daripada kejadian api misteri, Zainab, 80, bersama menantu, Ropeah Zakaria, 50, dan cucunya, Wan Mohd Faiz Wan Hanafi, 21, Wan Nor Fatihah, 19, dan Wan Nor Fatini, 17,  terpaksa berpindah tinggal di beberapa tempat selepas dikatakan diganggu api misteri itu.

Keluarga itu yang menumpang di rumah seorang saudara juga di kampung berkenaan seakan 'diekori api misteri' apabila pakaian milik mereka yang berada di dalam bilik tidur di rumah itu secara tiba-tiba terbakar pada Jumaat lepas. - BERNAMA 

api misteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain