PETALING JAYA: Kejadian kebakaran melibatkan asrama penginapan pusat tahfiz berlaku sekali lagi, kali ini menyaksikan Pusat Tahfiz al-Quran Fahd Ikhlas Enterprise di Klang, Selangor hangus dijilat api, petang Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata kebakaran itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa oleh kerana ketika kejadian, kesemua pelajar tahfiz itu berada di aras bawah.
Kebakaran yang melibatkan asrama tahfiz dua tingkat yang terletak berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang itu menyebabkan empat bilik asrama yang terletak di aras atas musnah.
"Bomba dapat panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 2.45 petang dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
"Dilaporkan ketika kejadian, 25 pelajar lelaki dan dua guru yang menghuni di asrama itu berada di tingkat bawah mengikuti kelas mengaji," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.


