suria

Adakah Belia Semakin Ganas?

MEREKA didakwa mengheret dua tong gas, yang dicuri dari berdekatan, dibawa ke tingkat atas dan diletakkan di pintu depan asrama sebelum dilepaskan gasnya.

Ia merupakan perancangan yang terperinci dan kerja keras daripada sekumpulan tujuh remaja, berusia antara 11 dan 18 tahun.

Tindakan itu mengakibat kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa, termasuk 21 pelajar.

Motif kejadian dikatakan berpunca daripada konflik membabitkan kumpulan pelajar dari sekolah itu, kerana mengejek suspek yang dilaporkan menghisap ganja.

Adakah golongan muda kita membesar sebagai seseorang yang bertindak ganas? Dan mengapa?

Tidakkah sebelum ini, hanya tiga bulan lalu apabila Malaysia dikejutkan dengan kes Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain dan pelajar, T. Nhaveen yang maut akibat tindakan kejam rakan sebaya?

Menurut pakar, kecenderungan anak-anak muda beralih kepada keganasan dalam menyelesaikan konflik dan perbezaan begitu membimbangkan.

Pakar kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr P. Sundramoorthy berkata, nampaknya terdapat corak tingkah laku yang agresif dalam kalangan golongan belia di Malaysia meskipun tiada data yang cukup mengenai betapa serius perkara tersebut.

Dr Sundramoorthy berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan.

"Trend dalam kalangan mereka yang berusia bawah 14 tahun terhadap keganasan bagi menyelesaikan masalah tanpa memikirkan kesannya, dilihat berkembang. Kita memerlukan lebih banyak kajian bagi meneliti mengapa perkara ini berlaku.

"Seperti yang ramai katakan, jika dulu, kanak-kanak hanya melemparkan batu kepada yang lain tetapi sekarang mereka sanggup mencuri, membakar dan membunuh, sehingga memberi kesan besar kepada yang lain," katanya.

Beliau menambah, isu besar yang perlu diambil perhatian adalah kadar ponteng dan buang sekolah.

Menurut statistik Bukit Aman, jenayah keganasan dalam kalangan pelajar sekolah pada 2014, mencatakan sedikit penurunan pada 2013, manakala kes membabitkan kanak-kanak tidak bersekolah meningkat lima peratus dari 2,011 kes pada 2013.

Beliau berkata, tahap agresif yang tinggi dalam kalangan belia Malaysia mencerminkan tingkah laku agresif orang dewasa dalam masyarakat.

"Kita sanggup mencederakan orang lain hanya kerana perkara kecil seperti membuli di jalan raya," katanya.

Salah satu punca adalah rakyat Malaysia secara umum tidak mempunyai nilai dalam hidup, katanya sambil merujuk kepada tahap keselamatan yang rendah dan kes bunuh di negara ini.

"Bilangan kes bunuh per kapita di negara ini tidak meningkat sejak lebih 30 dan 40 tahun lalu, tetapi cara pembuhuhan itu lebih ganas dan kejam," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain