suria

Kalau Lupa Ingat Nota Comel Cikgu Nana!

PETALING JAYA: Seorang guru sanggup menghasilkan nota ringkas bagi subjek Matematik menggunakan kaedah 'comel' dan kreatif semata-mata untuk membantu anak muridnya yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Nor Farhana Nordin, guru di Sekolah Rendah Sri Al-Amin, Bangi berkata idea tersebut timbul kerana ramai dalam kalangan anak muridnya lemah dalam subjek berkenaan.

"Tahun ini ramai di kalangan anak murid saya kategori lemah... hari ini ajar, esok lupa. Jadi saya guna kaedah warna-warni supaya mereka tertarik nak tengok nota ringkas itu.

"Lagipun semasa dalam kelas, saya lebih suka budak-budak salin nota saya tulis di whiteboard guna pen warna-warni. Saya memang beri kebebasan kerana mereka yang nak kena ingat dan faham. Jadi mereka buatlah ikut sedap mata mereka," katanya kepada mStar Online.

Menyedari masa agak suntuk kerana terdapat banyak cuti sebelum peperiksaan UPSR berlangsung, Nor Farhana atau mesra disapa sebagai Cikgu Nana berkata dia mula memikirkan kaedah tersebut sejak sebulan yang lalu untuk membantu pelajar mengingat asas operasi dengan lebih mudah.

Salah satu nota ringkas cetusan idea Cikgu Nor Farhana. - foto Facebook Nor Farhana Nordin.

"Ikutkan idea ini hadir tanpa dirancang, ia dilakukan sejak sebulan yang lalu. Memandangkan buku teks Matematik tebal-tebal dan pembelajaran berulang-ulang, jadi saya ringkaskan topik Tahun 4, 5 dan 6 dalam satu kertas A4.

"Mula-mula guna pen hitam, merah dan biru sahaja. Tapi bila dah buat banyak-banyak saya cuba gunakan kaedah lain iaitu guna magic pen supaya pelajar lebih tertarik nak baca dan senang ingat," katanya.

Malah, guru berasal dari Batu Pahat, Johor itu turut tidak lokek berkongsi nota ringkas itu dengan rakan sejawatan dari sekolah lain.

Nota ringkas ini dihasilkan penuh berwarna-warni agar mudah diingati anak murid.

"Pada mulanya saya tak yakin nak kongsi di media sosial sebab saya cikgu baharu dan bimbang jika tersalah konsep. Ini kerana saya suka conteng dan ringkaskan nota.

"Tapi Alhamdulillah ramai cikgu berpengalaman mesej dan beri maklum balas bahawa nota ini OK, lengkap dan menarik," katanya.

Guru berusia 29 tahun itu berkata dia turut menyediakan nota ringkas tersebut dalam bentuk salinan hitam putih dan atas talian secara percuma kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memilikinya.

"Untuk online mereka boleh dapatkan secara percuma. Boleh sebarkan dan cetak sendiri.

"Namun bagi mereka yang mahukan salinan berwarna untuk 12 muka surat dalam bentuk PDF mereka perlu membuat bayaran RM5 bagi kos pencetakan," katanya.

Cikgu Nana bersama anak muridnya.

Ditanya mengenai maklum balas anak muridnya mengenai pendekatan itu, Nor Farhana berkata hasil positifnya dapat dilihat menerusi sesi latihan bersama mereka.

"Alhamdulillah mereka lebih mudah nak ingat kembali operasi asas yang salah. Malah ia juga jadi rujukan buat mereka apabila buat latihan tubi di rumah," katanya.

Pada masa sama, Nor Farhana turut mendoakan agar semua anak muridnya dapat menjawab subjek tersebut tanpa sebarang masalah dan lulus dengan cemerlang.

"Seterusnya mereka dapat amalkan dan pratikkan kefahaman Matematik dalam kehidupan seharian dan juga agama. Ini kerana subjek tersebut amat penting dalam kehidupan kita," katanya.

Nota ringkas berwarna-warni idea Nor Farhana itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini dan mendapat pujian dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen menyifatkan inisiatif tersebut sebagai kreatif dan bermanfaat untuk dipratikkan.

nota ringkas, Matematik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain