suria

Gulai Lemak 'Pink'?

PETALING JAYA: Mungkin ada yang terkejut bila melihat 'air sirap bandung' dicampurkan dengan nasi putih.

Digaul pula bersama ayam goreng kunyit dan sayur, pasti ramai tertanya-tanya apakah ini masakan yang sedang 'trending' pada masa ini.

Jangan fikir yang bukan-bukan kerana air berwarna merah jambu itu sebenarnya adalah kuah gulai masak lemak.

Beberapa gambar makanan dan minuman, termasuk gerai yang menjual sajian itu berwarna merah jambu telah tular di media sosial.

Malah, pinggan dan sudu yang digunakan pelanggan untuk menjamu selera di premis tersebut juga turut berwarna sama.

Pengusaha gerai makan yang terletak di medan selera Jalan Duta di Kuala Lumpur itu tampil menjelaskan bahawa gulai lemak merah jambu itu sebenarnya adalah masakan sayur bayam dicampur dengan ubi keledek.

"Air masakan sayur bayam sebenarnya berwarna merah. Warna merah jambu itu terhasil bila lemak santan yang berwarna putih dicampurkan dengan air merah sayur bayam," kata Yus Amina Mohd Zawizah kepada mStar Online.

Lebih dikenali sebagai Afina, usahawan berusia 27 tahun itu sebelum ini menjadi perhatian netizen selepas gambarnya bersama anak perempuan memakai baju raya berkonsepkan Hello Kitty dimuat naik di laman sosial.

Penangan baju raya Hello Kitty itu menyaksikan kesanggupan seorang lelaki bergelar Datuk Z membeli baju berkenaan pada harga ribuan ringgit untuk anak perempuannya termasuk cucu yang menghidap kanser hati.

Disebabkan kontroversi baju Hello Kitty,  Afina berkata, ia memberi idea kepada beliau untuk mengusahakan gerai makan sejak dua minggu lalu.

"Selama ini orang asyik tanya nak beli baju Hello Kitty sampai saya pun dipanggil kakak Hello Kitty ke mana-mana saya pergi.

"Jadi saya alihkan tumpuan mereka dengan membuka gerai Hello Kitty. Tak perlu tanya pasal baju lagi, tapi kalau mereka nak rasa makanan Hello Kitty, mereka boleh datang ke gerai," katanya mengenai gerai yang dibuka seawal 6 pagi sehingga 2 petang setiap Isnin hingga Jumaat.


Menurut anak kelahiran Kelantan ini, menu yang diperkenalkan adalah hidangan sarapan pagi iaitu nasi lemak bersama air di mana nasinya berwarna merah jambu.

Tambahnya, nasi berlaukkan ayam goreng kunyit bersama sayur bayam gulai masak lemak merah jambu pula untuk sajian tengah hari.

"Semua menu dijual pada harga berpatutan, dan pelanggan akan diberikan air percuma, iaitu air teh 'o' untuk set sarapan pagi dan air Hello Kitty (air strawberi) bagi set makanan tengah hari," kata Afina sambil menambah antara lain yang dijual adalah roti jala.

gulai lemak, Hello Kitty, kedai pink

Artikel Sebelum

‘Kuasa’ Dia Wow! - Guru

Artikel Berikut

Artikel Lain