suria

Terkejut Terima Jemputan Kahwin Tunku Aminah

Tunku Aminah mula menunggang kuda pada usia kanak-kanak.

JOHOR BAHRU:Beberapa warga kerja Istana Johor terharu apabila menerima jemputan majlis perkahwinan Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah di Istana Besar, di sini, 14 Ogos ini.

"Saya terkejut dan bagaikan bermimpi apakah betul atau tidak mendapat jemputan itu, sehingga meremang bulu roma.

"Saya berasa diri ini amat dihargai apabila Tunku Aminah tidak melupakan saya dengan menjemput untuk ke perkahwinannya," kata Adnan Othman, 45, seorang pelatih kuda dan pemain Kelab Polo Diraja Johor.

Dalam satu temu bual bersama Royal Press Office iaitu pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, beliau menyifatkan puteri tunggal Sultan Johor itu sebagai seorang anak raja yang peramah, penyayang dan amat disenangi dalam kalangan pekerja istana.

Temu bual itu kemudian dikeluarkan kepada media menerusi Royal Press Office, Sabtu.

"Saya mula mengenali Tunku Aminah sejak beliau berusia lima tahun dan mula melatih menunggang kuda secara aktif ketika beliau berusia 11 tahun," katanya.

Adnan yang juga seorang penolong veterinar berkata antara latihan asas yang diterima Tunku Aminah termasuk mengenali, memegang dan berjalan bersama kuda sebelum berupaya untuk menunggang.

Kegembiraan yang sama turut dikongsi oleh dua lagi pelatih kuda Tunku Aminah, Zubir Selamat, 35, dan Mohd Fazli Selamat, 37.

Bagi Zubir menerima jemputan perkahwinan Tunku Aminah bagaikan suatu penghormatan buat dirinya."Saya mengenali Tunku Aminah sejak beliau berusia empat tahun dan sedikit sebanyak berkongsi pengajaran mengendalikan kuda bersamanya.

"Walaupun beliau seorang yang pemalu, namun sangat berdisiplin dan bagaikan rakan karib kepada kami semua di sini," katanya.

Zubir berkata beliau langsung tidak menyangka akan menerima jemputan daripada Tunku Aminah yang sentiasa dianggap sebagai seorang rakan baik.

Bagi Mohd Fazli pula, beliau yang sudah bekerja sebagai pelatih kuda hampir 21 tahun menganggap jemputan perkahwinan itu sebagai satu penghormatan bagi mereka bertiga."Kami berterima kasih kepada Tunku Aminah kerana tidak pernah melupakan kami," katanya.-Bernama

Tunku Aminah, Kahwin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain