suria

FIC: Siasatan Pembelian Hotel Masih Berjalan

GEORGE TOWN:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalan siasatan terhadap kes pembelian dua hotel di Kensington, London dan di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap FIC dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa individu bakal dipanggil untuk membantu siasatan.

Menurutnya, SPRM memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan berharap semua pihak akan terus memberi sokongan kepada SPRM bagi menyelesaikan kes itu.

"Tunggu la...mungkin ada lagi yang akan dipanggil kerana proses siasatan masih berlangsung. Ketika ini, kami sedang berusaha untuk selesaikan siasatan kes ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) pada Sabtu.

SPRM telah memulakan siasatan pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini dan setakat ini, tujuh individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Dzulkifli berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya.

Sebelum ini, Dr Mahathir pernah mendakwa bahawa Ahmad Zahid mempunyai wang tunai sebanyak itu dalam akaunnya pada 1996 namun mengakui beliau tidak mempunyai sebarang bukti tentang perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli berkata pihaknya akan menyambut baik langkah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang akan mewajibkan kesemua kakitangannya di seluruh negara untuk menduduki Ujian Kaedah Penilaian Integriti (IAT).

“SPRM menyokong penuh usaha berkenaan kerana usaha itu akan melahirkan lebih ramai lagi pegawai-pegawai sektor awam yang berintegriti dan saya menyerahkan kepada budi bicara JKDM untuk pastikan kejayaan perlaksanaan program itu," katanya.

Pada Jumaat,  Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam telah mengumumkan semua anggota dan pegawai lantikan baharu JKDM wajib menjalani IAT bagi mengukur ketelusan individu mengikut skop kerja yang dilaksanakan.-Bernama

SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain