suria

TPM Sedia Disiasat SPRM

-fotoTHESTAR

BALING: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu menyatakan kesediaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  kononnya beliau mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya pada 1996.

Timbalan perdana menteri menyatakan kerelaan hati untuk disiasat SPRM bagi membetulkan apa yang disifatkannya sebagai satu pembohongan, namun pada masa sama turut meminta harta bekas perdana menteri dan keluarganya juga disiasat suruhanjaya tersebut.

“Saya dengan ini terbuka hati dan menawarkan diri untuk disiasat oleh SPRM demi membetulkan persepsi dan pembohongan yang dilakukan oleh orang itu (Dr Mahathir). Pada masa sama saya minta aset beliau dan keluarga beliau juga disiasat SPRM. Ini bukan cabaran, cuma minta… baru namanya telus. Jangan dok tuduh orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Baling di sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Umno bahagian itu merangkap Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Baru-baru ini Dr Mahathir membangkitkan isu pengisytiharan harta dibuat Ahmad Zahid semasa dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya. Bagaimanapun Dr Mahathir menyatakan beliau tidak mempunyai bukti hitam putih berhubung dakwaan itu.

Timbalan perdana menteri menjelaskan pada masa itu beliau merupakan ahli perniagaan dengan turut menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat tersenarai awam, pengerusi tiga syarikat tersenarai awam dan pengerusi  Bank Simpanan Nasional.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyatakan kesanggupan membuat sumpah laknat di mana-mana masjid di negara ini sekiranya ada pihak mengatakan beliau berbohong tentang mempunyai rakaman perbualan Dr Mahathir yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Dr Mahathir juga perlu sanggup membuat sumpah laknat berhubung tuduhan dilemparkan terhadap dirinya.

"Kalau sumpah laknat saya sanggup buat, beliau pun mesti juga sanggup buat (sumpah laknat)… dia (Dr Mahathir) patah balik kata saya (dakwa saya cadangkan untuk jatuhkan Najib)," katanya.

Semalam ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jerlun, Ahmad Zahid mendedahkan bekas presiden Umno itu sebenarnya dalang disebalik usaha untuk menyingkirkan Najib dan beliau memiliki cukup bukti dalam bentuk rakaman.

-Bernama
SPRM, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Lain