suria

Gempar Pokok Pelangi 'Tumbuh' Di Pantai Timur!

PETALING JAYA: Gempar apabila sebatang 'pokok pelangi' muncul di sebuah bandar di negeri pantai timur tanah air.

Gambar pokok tersebut yang telah dicat dengan aneka warna di bahagian batangnya bukan sahaja menarik perhatian ramai apabila ia tular, tetapi dalam masa sama turut mengundang pelbagai kritikan dan pandangan.

Berdasarkan komen netizen, pokok ini dikatakan terletak di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dan dicat untuk tujuan mengindahkan landskap bandar berkenaan.

Bagaimanapun ramai dilihat tidak bersetuju dengan langkah ini kerana mereka menganggap ia ibarat 'mencabul' tumbuh-tumbuhan dan ciptaan Allah yang telah sempurna.

Ada juga yang menganggap tindakan memakaikan 'baju' kepada pokok ini sebagai satu seni yang keterlaluan dan membazir.

Ketika ramai yang menyatakan rasa simpati terhadap jangka hayat pokok tersebut yang dilabelkan mereka sebagai telah 'diconteng', seorang pengguna telah tampil dan menjelaskan bahawa pokok ini dicat menggunakan cat khas dan tidak akan memudaratkan pokok.

Dia mendakwa pokok-pokok di sekolahnya, juga terletak di negeri Terengganu turut dicat dengan cat khas untuk tumbuh-tumbuhan.

Seorang pengguna lain pula memberitahu bahawa pokok berwarna-warni memang wujud dan ia dipanggil Pokok Pelangi (Eucalyptus deglupta). Pokok ini boleh dijumpai tumbuh meliar di New Britain, New Guinea, Ceram, Sulawesi dan Mindanao.

Tetapi, dalam ramai-ramai yang memberikan pandangan negatif, ada juga yang menyokong langkah ini yang mereka sifatkan sebagai kreatif.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain