suria

Serangan Pengganas Tidak Jejas Aidilfitri Di Makkah

UMAT Islam berkumpul seawal 1 pagi untuk menunaikan solat Subuh dan solat sunat Aidilfitri di Masjidil Haram.

MAKKAH: Insiden serangan pengganas berdekatan Masjidil Haram ternyata tidak menggugat semangat kira-kira tiga juta umat Islam untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid itu pada Ahad.

Umat Islam yang berada di Makkah mula membanjiri di setiap pelosok Masjidil Haram seawal pukul 1 pagi sehingga menjadikan laluan ke pintu masuk masjid agung itu ditutup seawal jam 2.30 pagi berikutan lambakan jemaah yang mula bersedia mengambil tempat di dalam masjid untuk menunaikan solat Subuh pada jam 4.09 pagi.

Kira-kira dua jam kemudian, solat Aidilfitri dimulakan pada jam 6.15 pagi waktu tempatan sehingga menyaksikan kesesakan di kawasan dalam dan sekitar masjid, sekali gus membuktikan tiada kebimbangan dalam kalangan umat Islam di sebalik insiden pengeboman di Ajyad Musafi sehari sebelum Aidilfitri.

UMAT Islam yang menyambut Aidilfitri di Makkah.

Aktiviti Aidilfitri hanya tertumpu kepada ibadat solat semata-mata.

Kompleks beli-belah khusunya restoran dan medan makan turut menjadi tumpuan jemaah tempatan, asing dan umrah.

Sebahagian besar kedai dan bazar hanya dibuka selepas solat Asar.

Sementara itu, jemaah umrah yang menyambut Aidilfitri di Tanah Suci pula menikmati hidangan nasi impit, rendang daging dan kuah kacang sebagaimana disediakan oleh pihak katering agensi pengendali umrah.

UMAT Islam di Makkah mengunjungi kedai yang dibuka selepas solat Asar.

Walaupun tidak begitu ramai warga Malaysia menyambut Aidilfitri di Makkah tetapi keseronokan tetap terasa sejurus solat Aidilfitri.

Semua saling bersalaman dan mengucapkan selamat hari raya.

Bagi mereka yang mempunyai rakan dan kenalan, peluang berkunjung tidak dilepaskan begitu saja.

Makkah, Aidilfitri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain