suria

Wajib Serah Rekod Pemandu 'E-Hailing'

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mewajibkan penyedia perkhidmatan 'e-hailing' (e-panggilan) mengemukakan rekod pemandu mereka kepada SPAD mulai 16 Jun ini.

SPAD dalam kenyataan pada Selasa berkata, ia bertujuan membolehkan SPAD menjalankan saringan latar belakang pemandu dengan lebih ketat menerusi kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain, iaitu Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Selain mewajibkan penyerahan rekod pemandu, demi keselamatan penumpang, SPAD turut melaksanakan beberapa langkah lain ke atas perkhidmatan e-panggilan sebelum pembacaan kedua bagi pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) yang dijadual berlangsung bulan depan (Julai) di Parlimen," kata kenyataan itu.

SPAD pada Selasa mengadakan mesyuarat dengan wakil daripada Grab Malaysia dan berbincang mengenai langkah-langkah keselamatan penumpang yang serius berikutan penahanan seorang pemandu GrabCar dipercayai merogol seorang wanita di dalam kereta miliknya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan baru-baru ini.

SPAD juga telah mengarahkan pengendali e-hailing untuk mempercepatkan pelaksanaan butang panik atau "S.O.S" pada aplikasi mereka dengan segera. Butang panik itu akan menyediakan satu ciri keselamatan kepada penumpang iaitu menyampaikan maklumat kepada polis sekiranya berlaku kecemasan.

"Sebagai satu polisi mitigasi risiko yang proaktif, SPAD telah menggesa pengendali e-hailing untuk menggunakan proses yang lebih menyeluruh bagi mengenal pasti profil pemandu. Ia akan membolehkan mereka mengenal pasti dan menghalang pemandu yang berisiko tinggi.

"Selain itu, pengendali e-hailing juga diwajibkan menyerahkan data (maklumat) secara bulanan mengenai pemandu yang dikenal pasti telah melakukan kesalahan trafik, masalah tingkah laku dan perkhidmatan. Ia membolehkan SPAD menyenarai hitam pemandu terbabit dan menghalang mereka daripada berpindah kerja ke perkhidmatan e-hailing lain," katanya.

Pengendali e-hailing juga dihendaki menyerahkan data bulanan 'rating' (penarafan) pemandu kepada SPAD untuk menyelesaikan secara proaktif isu-isu membabitkan pemandu perkhidmatan itu dan setelah peraturan kawal seliaan e-hailing diluluskan oleh Parlimen kelak, pengendali e-hailing diwajibkan mengamalkan tahap keselamatan dan perkhidmatan yang terbaik, kata kenyataan itu.

SPAD tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengendali dan pemandu e-hailing yang didapati melanggar undang-undang termasuk menyita kenderaan pemandu e-hailing yang terlibat, tambah kenyataan itu. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain