suria

ATM Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Situasi Banjir Terburuk

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera yang baharu, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di pejabatnya, Khamis.

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir buruk di Kelantan dan Terengganu berikutan hujan lebat masih berterusan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis berkata aset ATM seperti helikopter dan anggota tentera telah dikerah ke lokasi banjir.

"Kami akan meningkatkan tenaga kerja dari semasa ke semasa dan beberapa divisyen telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia," katanya.

Raja Mohamed Affandi juga berkata selain Kelantan dan Terengganu, ATM juga memantau situasi banjir di Pahang. 

"Kami bekerja rapat dengan Jabatan Meteorologi dan diberi taklimat harian daripada petugas di lokasi. Kami juga telah merangka pelan kontigensi," katanya.

Sehingga tengah Khamis, bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Kelantan meningkat kepada 14,132 orang berbanding 12,636 pagi tadi dan dijangka jumlah itu akan terus meningkat. 

Di Terengganu, bagaimanapun jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 4,174 orang berbanding 8,313 orang pagi tadi.

"Kami telah bersedia untuk segala-galanya berikutan banjir buruk yang berlaku pada 2014. Saya percaya pengurusan banjir kali ini lebih baik. Kami akan cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik," kata Raja Mohamed Affandi.-- Bernama


ATM, banjir

Artikel Lain