suria

5,333 Saman Dikeluarkan Malam Tahun Baharu

GAMBAR FAIL

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengeluarkan 5,333 saman bagi pelbagai kesalahan dalam Op Terancang Ambang Tahun Baharu 2017 di lima zon lebuh raya utama negara termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2.

Zon lebuh raya lain ialah Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Kesas, Lebuhraya Elite dan Kajang Silk, kata Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JSPT Bukit Aman Supt Mustapa Bakri Salleh.

Beliau berkata kesemua saman berkenaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi dari 11 malam hingga 4 pagi Ahad.

Sepanjang operasi itu, katanya, saman yang paling banyak dikeluarkan adalah bagi kesalahan memandu melebihi had laju iaitu 2,832, nombor plat tidak mengikut spesifikasi (176), tiada lesen memandu (151), tidak melalui lorong motosikal (135) dan tamat cukai jalan (124).

"Saya lihat ramai lagi pengguna jalan raya yang masih berdegil dengan memandu melebihi had laju dengan jumlah saman kesalahan had laju meningkat daripada operasi sebelumnya," katanya ketika ditemui pemberita di Plaza Tol Jalan Duta, di sini.

Mustapa Bakri berkata kebanyakan yang memandu melebih had laju terdiri daripada kenderaan perdagangan iaitu lori dengan 179 saman dan bas dengan 83 saman.

Beliau berkata sepanjang operasi itu, JSPT Bukit Aman memeriksa sebanyak 2,919 kenderaan dan 2,951 orang.

"Daripada jumlah itu, lapan pemandu dikesan positif dadah dan tujuh didapati memandu dalam keadaan mabuk," katanya.

Op berkenaan yang melibatkan 178 pegawai dan anggota trafik bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan. - BERNAMA

JSPT Bukit Aman

Artikel Lain