suria

Sepasang Kekasih Warga Myanmar Miliki Pistol Ditahan

NIBONG TEBAL: Sepasang kekasih warga Myanmar ditahan selepas polis menemukan sepucuk revolver dan enam kelongsong peluru dalam serbuan di rumah kongsi tapak projek perumahan Jalan Selamat Seruling Emas di sini, malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata sepasukan polis menyerbu dan memeriksa rumah kongsi itu pada 12.45 tengah malam tadi sebelum menahan pasangan itu.

"Semasa serbuan, pasangan berusia 29 dan 32 tahun itu sedang tidur.

Semasa pemeriksaan dijalankan, polis menemukan sepucuk pistol jenis revolver .38 yang tiada nombor siri.

"Selain itu, polis turut menemui enam kelongsong peluru dan satu sarung pistol berwarna hitam di rumah kongsi berkenaan," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan kekasih itu, yang bekerja kontrak di tapak pembinaan tersebut, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Shafee berkata polis juga sedang menyiasat motif pasangan itu memiliki pistol berkenaan termasuk sama ada senjata api itu digunakan untuk kegiatan jenayah.

Katanya lelaki dan wanita itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Perak dekat sini dalam operasi Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk dari 9 malam hingga 6 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki itu ditahan semasa sekatan jalan raya dan dipercayai baru pulang dari pusat hiburan.

Polis juga mengeluarkan 103 saman bagi pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Selain itu, polis turut menyuraikan kumpulan kecil samseng jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Bukit Gambir, Jalan Sultan Azlan Shah dan Padang Kota," katanya. - BERNAMA

Revolver Myanmar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain