suria

Tanah Runtuh Di Tanah Rata Tiada Kaitan Dengan Pencerobohan

CAMERON HIGHLANDS: Insiden tanah runtuh dan banjir kilat di beberapa kawasan di sini Ahad lalu bukan berpunca daripada kegiatan pencerobohan tanah.  

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Hasadid A. Hamid sebaliknya berkata kejadian itu disebabkan taburan hujan melebihi kadar normal sehingga membawa kepada pergerakan cerun ada hari tersebut. 

Katanya berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi, Tanah Rata pada harikejadian menerima curahan hujan dari pukul 2 petang sehingga 5 petang melebihi 100 milimeter (mm) melepasi tahap normal iaitu 20 mm.  

"Hasil siasatan polis, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah serta Jabatan Bombadan Penyelamat Malaysia Cameron Highlands mendapati banjir kilat dan tanah runtuh berpunca daripada curahan dan limpahan air hujan luar biasa," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita di lokasi tanah runtuh membabitkan rumah peranginan Tenaga Nasional Bhd (TNB) 'The Sharples' di sini pada Rabu.

Dalam kejadian Ahad lalu, runtuhan menyebabkan bahagian hadapan rumah penginapan itu serta empat kenderaan rosak, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 

Selain itu, tanah runtuh dan pokok tumbang juga berlaku di Kilometer 55, Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran ladang Bharat Tea; Kilometer 59, Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran Oly Apartment; dan Jalan Perdah, manakala perumahan polis di Tanah Rata dilanda banjir kilat. 

Semua lokasi yang terlibat dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh telah dibuka serta selamat untuk dilalui semua jenis kenderaan kecuali di 'The Sharples', katanya. 

Menjelas lanjut, Hasadid berkata setakat ini, pihaknya telah menerima tiga laporan polis berkaitan insiden berkenaan dan laporan penuh siasatan dijangka diperoleh dalam tempoh tiga bulan lagi. 

"Namun saya ulangi sekali lagi kejadian tersebut tiada kaitan dengan pencerobohan tanah kerana tiada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang diatas bukit," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dengan bantuan pejabat Meteorologi sedang memantau beberapa lokasi antaranya Bharat Tea, Kampung Raja dan Kuala Terla yang mempunyai kebarangkalian untuk berlaku tanah runtuh. 

Selain itu, Hasadid menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang penyebaran maklumat palsu mengenai kejadian bencana di Cameron Highlands selagi ia tidak disahkan oleh pihak berkuasa. 

"Tindakan menyebarkan maklumat yang tidak sahih hanya menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelancong dan masyarakat setempat," katanya.-Bernama

Artikel Lain