suria

Tanah Runtuh: 13 Terselamat, Kereta Kena 'Telan'

IPOH: Tiga belas sekeluarga terselamat dalam kejadian tanah runtuh di sebuah banglo percutian di Cameron Highlands.

Kebanyakan mereka sedang tidur atau berehat di banglo Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Tengkolok di Tanah Rata selepas makan tengah hari apabila mereka terkejut mendengar bunyi gegaran kuat pada pukul 3.15 petang Ahad.

Pemandu lori Johari Kintan, 43, berkata, beliau dan ahli keluarganya mendengar bunyi yang amat kuat.


"Dari tingkap, kami melihat tanah 'menelan' kereta. Adik ipar saya dan saya segera memaklumkan ahli keluarga lain untuk lari melalui pintu belakang.

"Kami bimbang akan berlaku tanah runtuh kedua dan banglo itu mungkin musnah. Syukurlah, ia tidak berlaku dan tidak seorang pun daripada kami cedera," kata Johari, Isnin.

Beliau menambah, seluruh ahli keluarganya duduk di sebuah padang di belakang banglo itu dan menunggu sehingga hujan berhenti.

Walau bagaimanapun, kereta mereka rosak teruk.

Sebuah lagi kereta dipercayai milik seorang pekerja TNB yang menjalankan kerja-kerja elektrik di kawasan itu juga telah rosak.

Johari berkata hujan lebat telah turun selama lebih dua hari ketika mereka tiba di banglo itu.

"Penjaga di situ memberitahu kami tiada kejadian seperti itu berlaku sejak 20 tahun lalu.

"Selepas kejadian, kami mahu balik tetapi kereta pula rosak dan terperangkap dalam tanah runtuh.

"Kami diberi tempat lain oleh TNB di Tanah Rata sehingga kami boleh mendapatkan semula kereta dan barang-barang kami," katanya.

Hujan juga telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh kecil di jalan utama Cameron Highlands-Tapah, menyekat akses berhampiran Bharat Tea Plantations di Tanah Rata pada petang Ahad.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berkata tiada yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh itu.

Anggota bomba memotong dahan-dahan pokok yang tumbang di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Hasadid A. Hamid menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa musim hujan.

"Letaklah kenderaan anda di tempat yang selamat. Sekarang ini musim hujan, jadi kita perlu berhati-hati terutamanya di kawasan tanah tinggi, "katanya.

Artikel Lain