suria

'Sesumpah' Di KLIA2 Lebih 'Laris' Banding Teksi, Ulat

PETALING JAYA: Atas nama kemodenan di mana teknologi maklumat saling berkait rapat dengan kehidupan manusia, tidak hairanlah mengapa pemandu perkhidmatan kongsi kereta lebih diyakini masyarakat masa kini.

Pelancong luar dan warga tempatan khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) seolah-olah dapat 'memaafkan' dan menyokong tindakan sesetengah pemandu perkhidmatan itu yang 'belot' kepada majikannya apabila sanggup berubah status menjadi 'sesumpah' dalam berdepan saingan tinggi untuk mendapatkan penumpang di lokasi berkenaan.

Hadir di KLIA2 sebagai pemandu perkhidmatan yang diluluskan kerajaan dan kemudian berubah menjadi 'sesumpah' yang menukar tambang asal kepada tambang sedikit murah, ia tiada beza dengan sifat seekor sesumpah yang sering berubah-ubah.

'Sesumpah' ini hadir dengan modus operandi sendiri, berbeza dengan ulat-ulat biasa di KLIA2 yang  menggunakan cara lapuk iaitu 'air liur' sebagai modal untuk memujuk penumpang.

Ini sudah tentu ketinggalan zaman berbanding 'sesumpah' ini yang menggunakan telefon bimbit dan aplikasi terkenal seantero dunia itu untuk mengumpan mangsa.

Pendekatan 'sesumpah' ini apabila berdepan pelanggan juga lembut dan bersahaja, lebih bersifat rundingan dan diplomasi, tidak seperti ulat biasa yang cukup sinonim dengan sikap kasar dan mendesak.

Dari segi keyakinan, sudah tentulah pelanggan akan terdorong untuk memilih 'si sesumpah' yang sudah melepasi syarat dan kriteria untuk bergelar pemandu yang berdaftar secara dah berbanding 'si ulat' yang tidak 'dipayungi' mana-mana syarikat.

Selain kenderaan persendiran yang perlu sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik, kebanyakan pemandu ini berpenampilan kemas dan meyakinkan.

Faktor-faktor inilah yang menyebabkan pemandu dua syarikat penyedia perkhidmatan kongsi kereta di KLIA lebih 'laris', sekali pun saingannya adalah kumpulan pemandu teksi atau ulat-ulat 'otai'.

Perlahan tapi pasti, mereka mampu 'meragut' pendapatan pemandu-pemandu teksi di KLIA2, termasuk ulat-ulat di sana walaupun sudah lama berkecimpung dalam aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

Justeru, tidak mengejutkan apabila ulat-ulat biasa juga telah mendaftar sebagai pemandu syarikat itu di mana tiada bayaran dikenakan, tetapi terus kekal sebagai ulat atau berubah menjadi 'sesumpah'.

Semua ini kerana status sebagai pemandu perkhidmatan itu dilihat lebih 'bernilai' tinggi di mata penumpang zaman ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain