suria

Kastam Selangor Rampas 37 Kontena Rokok, Minuman Keras Bernilai RM10.5 Juta

Indera Subromaniam Tholasy (tiga, kiri) menunjukkan sebahagian daripada minuman keras dan rokok belum lulus Kastam selepas sidang media mengenai rampasan 37 kontena mangandungi rokok dan minuman keras tersebut oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Selangor di Wisma Kastam dekat Pulau Indah pada Ahad. Foto: Bernama

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup 37 kontena rokok dan minuman keras bernilai RM10.5 juta daripada sebuah kapal di Jeti Bukit Gombak, Pulau Carey di sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Pematuhan), Datuk T. Subromaniam berkata barangan bernilai cukai anggaran RM60 juta hingga RM80 juta itu dirampas kira-kira pukul 2.30 petang daripada kapal 'Prelude Portsmouth' yang berdaftar di Indonesia kerana dilihat mencurigakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut terhadap kapal dagang itu, JKDM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain turut menahan sembilan anak kapal warga Indonesia berumur antara 30 hingga 40 tahun. 

"Siasatan awal mendapati kapal dari Indonesia itu disyaki singgah di Singapura untuk mengambil muatan dan mendakwa akan bergerak ke destinasinya iaitu Filipina.

"Namun kita mengesyaki ada berlaku penyeludupan apabila kapal ini singgah dulu di Malaysia sedangkan ia boleh terus ke destinasinya tanpa melalui perairan negara ini," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui laluan sebenar kapal dagang berkenaan berikutan kapten kapal bersama seorang lagi lelaki meloloskan diri ketika penahanan dilakukan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan ke atas kesemua anak kapal yang ditahan reman sehingga Jumaat ini mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Beberapa agensi penguat kuasa laut negara ini sedang bekerjasama rapat memburu kedua-dua lelaki berkenaan kerana mereka turut membawa segala dokumen kapal ketika melarikan diri," katanya.

Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindah barang belum lulus kastam.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata JKDM sedang menilai semula kawalan keselamatan di 249 jeti persendirian di negara ini berikutan kebanyakan kes penyeludupan berlaku di kawasan tersebut.

Sehubungan itu katanya, jabatan berkenaan akan lebih mempergiat aktiviti penguatkuasaan terhadap semua pelabuhan terutama jeti persendirian dalam usaha menurunkan sehingga 50 peratus jumlah kes penyeludupan pada tahun depan.

"Pembukaan jeti persendirian adalah untuk bantu aktiviti perdagangan di kawasan tertentu namun ada pihak mengambil kesempatan menyebabkan kes penyeludupan semakin meningkat. Kita akan atur semula gerak kerja untuk bendung isu ini," katanya. -Bernama

Rokok, Minuman Keras, Kastam Selangor

Artikel Lain