suria

Kegembiraan Ibu Ke Muar, Petanda Akhir Sebelum Maut - Anak Mangsa

Empat sekeluarga termasuk dua bayi kembar berusia setahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tampin-Gemas pada 24 Disember 2016. - BERNAMA

TAMPIN: Kegembiraan yang dipamerkan Nazipah Chik ketika mengikuti anak-anaknya ke kenduri perkahwinan saudaranya di Muar, Johor merupakan petanda akhir sebelum wanita berusia 60 tahun itu terkorban dalam nahas jalan raya di sini semalam.

Junaidah Jusoh, 41, yang merupakan anak kepada Nazipah berkata selain ibunya, turut bersama-sama mengikuti perjalanan ke Muar itu ialah dua adiknya iaitu Mohd Fadzil, 37, sekeluarga serta Nursyuhaidah Jusoh, 23.

"Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan oleh kesemua mereka kecuali emak yang paling gembira. Sebelum kejadian, saya sekeluarga menaiki sebuah kereta manakala emak pula bersama Mohd Fadzil dalam satu lagi kereta lain dan kami menuju ke Muar untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara.

"Apabila tiba di Segamat, kami berpecah di mana saya melalui jalan Tangkak manakala adik pula melalui jalan Gemas-Tampin. Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan bahawa mereka terlibat dalam kemalangan dan kami terus berpatah balik ke lokasi kejadian dan dimaklumkan kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Tampin," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Junaidah berkata, apa yang paling menyayat hati ialah Mohd Fadzil yang bekerja sebagai tukang masak baharu sahaja menimang cahaya mata sulung kembar tiga selepas 10 tahun berkongsi hidup dengan isterinya Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33.

"Tidak sangka ini kali pertama berlaku dalam keluarga saya," katanya dalam nada sebak.

Ditanya mengenai keadaan terkini seorang lagi anak Mohd Fadzil iaitu Muhd Fahimi, 1 tahun, isterinya Wan Suhana serta Nursyuhaidah, beliau berkata Muhd Fahimi mengalami patah rusuk namun telah dibawa keluar daripada hospital memandangkan dia tidak mempunyai penjaga.

"Manakala isterinya masih berada dalam zon kritikal dan adik stabil," katanya dan menambah kesemua mereka kini berada di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Dalam nahas yang berlaku 3.20 petang semalam, selain Mohd Fadzil dan Nazipah, dua lagi yang maut ialah pasangan bayi kembar tiga iaitu Muhd Farhan dan Nur Farhana, masing-masing berusia setahun.

Kemalangan itu berpunca selepas kereta Proton Saga yang dipandu Mohd Fadzil dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki yang berusia 62 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Kesemua empat jenazah akan dikebumikan di Kemaman, Terengganu, pada Ahad.

Kemalangan, Tampin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain