suria

Nahas Bas: Isteri Pemandu Trauma - Ayub Rahmat

Ayub Rahmat diiringi Dr Selahuddeen Abdul Aziz ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kemalangan bas yang terselamat dari India, Govindara Raj, 50, di Hospital Pakar Sultanah Fatimah pada Ahad. Foto: Bernama

MUAR: Isteri pemandu bas ekspres, yang cedera dalam kemalangan di KM137.3 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kampung Jayor, Pagoh pada Sabtu masih trauma dan mengalami gangguan emosi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata wanita itu, yang dikenali sebagai Miyarseh, kini dirawat kerana cedera di kaki kiri.

"Kita tidak menemui dokumen pengenalan diri pada wanita itu. Dia sedang mengalami gangguan emosi dan tidak mampu berkomunikasi dengan jelas berikutan kematian suami, Zakeer Zubir, 32 dan anak perempuannya, Nur Natasya Zahara, setahun, dalam nahas itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa nahas itu di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah HPSF,Dr Selahuddeen Abdul Aziz. 

Ayub berkata sehubungan itu, pihak HPSF menyediakan khidmat kaunseling bagi membantu memulihkan emosi wanita berkenaan.

Selain itu, empat lelaki yang selamat dalam nahas itu sedang dirawat dihospital berkenaan dan berada dalam keadaan stabil.

Mereka adalah warga Myanmar Zaw Oo, 20-an, warga India Govindara Raj,50, serta dua rakyat tempatan R.Nagadevan, 32, dan lelaki yang hanya dikenali sebagai Kesavan, 26.

"Saya yakin pihak HPSF memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada kesemua mangsa supaya dapat sembuh segera," katanya yang turut menyampaikan wang sumbangan kerajaan negeri Johor kepada kesemua pesakit berkenaan.

Mengenai warga Singapura yang turut cedera dalam nahas terbabit, Ayub berkata kesemua mereka memohon untuk dibenarkan keluar dari HPSF semalam bagi menyambung rawatan di republik itu.

Mengenai 14 mangsa yang maut, beliau berkata waris sudah mengenal pasti 13 mayat termasuk tiga rakyat Singapura yang sudah dituntut untuk urusan pengebumian sejak semalam hingga pagi Ahad.

Ayub berkata hanya jenazah Abdullah Hadi Yusof, 47, dari India, yang belum dituntut dan Kedutaan India sedang menguruskan jenazahnya.

"Keseluruhannya, saya berpuas  hati dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) menyelamat yang diguna pakai HPSF. Saya mewakili kerajaan negeri turut berterima kasih dengan pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dalam membantu pengurusan jenazah," katanya. 

Dalam pada itu, Dr Selahuddeen menafikan viral di laman sosial pada Sabtu bahawa pihaknya menghadapi masalah bekalan darah bagi merawat mangsa kemalangan.

"Kita mempunyai bekalan darah yang mencukupi. Cuma semalam, kita sukar untuk mengenalpasti jenis darah mangsa ketika tiba di sini" katanya.

Jelasnya lagi, pihak hospital mempunyai senarai penderma darah yang mudah dihubungi jika berlaku kekurangan tabung darah. -Bernama

Isteri pemandu bas, nahas bas, pagoh

Artikel Lain