suria

Lebih 100,000 Pengunjung Dijangka Hadir Ke Pameran Bunga Mawar LED

Sebanyak 32,888 kuntum bunga mawar LED ditanam pada Pameran 'The Nightscape of Light Sensation-Love Series' yang berlangsung di Dataran Pahlawan Jumaat malam. Pemeran berkenaan berlangsung lebih dua minggu bermula dua hari lepas hingga 2 Januari depan.

MELAKA: Lebih 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan pameran 'The Nightscape of Light Sensation - Love Series' yang mempamerkan 32,888 kuntum bunga mawar diod pemancar cahaya (LED) di Dataran Pahlawan, di sini.

Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka Datuk Ghazale Muhamad berkata produk pelancongan segera daripada syarikat Escaperoom Holding Malaysia itu dijangka membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke Melaka pada tahun ini yang disasarkan seramai 16.5 juta orang.

"Pameran yang berlangsung sejak dua hari lepas hingga 2 Jan tahun depan ini merupakan kali kedua diadakan selepas mendapat sambutan yang sangat baik daripada pengunjung ketika diadakan di Taman Ekspo Pertanian Serdang, Selangor pada September dan Oktober lepas.

"Pemilihan lokasi bagi pameran ini dilihat amat bertepatan memandangkan Melaka kini merupakan antara destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Light Sensation di sini, malam tadi.

Beliau berkata sekiranya pameran berkenaan mendapat sambutan dalam tempoh berkenaan, kerajaan negeri akan berbincang dengan Escaperoom Holding bagi menjadikan ia sebagai satu daripada produk pelancongan tetap negeri berkenaan. "Pada pameran tetap itu nanti kita hanya perlu menukar reka bentuk atau landskap yang dibangunkan menggunakan kuntum bunga mawar LED bagi memberi kelainan dari semasa ke semasa kepada pengunjung," katanya.

Dalam pada itu, Ghazale berkata kerjasama dengan syarikat swasta dalam usaha membangunkan lebih banyak produk pelancongan di Melaka amat dialu-alukan kerana ia tidak boleh hanya diletakkan pada bahu kerajaan negeri atau persekutuan sahaja.

"Kerajaan negeri akan membantu syarikat swasta yang berminat untuk melabur dalam industri pelancongan dalam pelbagai aspek bagi merancakkan pembangunan sektor tersebut di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Escaperoom Sdn Bhd Datuk Patrick Ong berkata pameran itu mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran lebih 2,500 pengunjung dan harga tiket bermula RM10 hingga RM30.

Beliau berkata pameran yang berlangsung bermula 2 petang hingga 12 tengah malam itu berlainan daripada pameran yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Serdang daripada aspek reka bentuk bunga yang disusun menggunakan kuntuman bunga mawar LED berkenaan.

"Reka bentuk pameran di sini lebih 'compact' dan menarik kerana bunga yang disusun mengelilingi kawasan dataran ini seperti lautan bunga mawar berlampu.

Mawar LED putih dipilih kerana ia melambangkan kesucian, cinta, harapan, pemutus daripada ketakutan dan cahaya ketika kegelapan," katanya.-- Bernama

LED, Dataran Pahlawan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain